Berita Utama

Pengalaman buruk tadbir negara asbab PAS Kelantan tolak PH

Apa lagi rakyat boleh harap, PH rugikan Melayu, Islam

BANGI, 23 Safar 1444H, Isnin – PAS Kelantan mendukung sepenuhnya ketegasan Tan Sri Abdul Hadi Awang menolak Pakatan Harapan (PH), kerana pernah memberikan pengalaman buruk dan mimpi ngeri selama 22 bulan memerintah negara.

Ketua Penerangan PAS Negeri Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata,  kemelut dalaman PH negeri itu tidak menampakkan jalan penyelesaian tuntas sehingga menguatkan lagi sebab penolakan.

“Apa lagi yang boleh rakyat harapkan daripada PH yang merugikan umat Melayu atau Islam, sehingga pelbagai fahaman liberal masuk ke negara kita dan mencabar akidah Islam.

“PAS pastinya telah masak menempuh onak ranjau pengalaman dalam membentuk pelbagai kerjasama di antara parti politik.

“Ini termasuklah kerjasama yang bermula semenjak 1998 dengan Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Kelantan juga tidak terkecuali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, keadaan PH sebagai sebuah pakatan yang gagal membawa misi seimbang untuk bangsa dan agama adalah bercanggah dengan prinsip perpaduan berteraskan persefahaman antara kaum dan agama di negara ini.

“Perpaduan itu pula dilakukan mengikut acuan Allah SWT, Tuhan yang Maha Mengetahui berkenaan manusia yang diciptakan-Nya,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai seruan Penyatuan Ummah, Mohd Nassuruddin berkata, ia bukan hanya mengenai ‘survival’ politik PAS, sebaliknya demi kelangsungan umat Islam yang menjadi keutamaan.

Tegasnya, setelah gema Penyatuan Ummah dibawa oleh pimpinan, sudah tentu menjadi tanggungjawab semua ahli untuk menyambut baik usaha ini. 

“Pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), PAS bersungguh-sungguh menerajui Penyatuan Ummah. 

“Membina kesedaran kepada rakyat dan Umat Islam supaya tidak terjun ke dalam jurang yang sama seperti Pilihan Raya Umum tahun 2018 yang lalu.

“Melalui Penyatuan Ummah ini juga, PAS Kelantan yakin, rakyat akan sama-sama menggalas peranan dan tanggungjawab untuk membangun negeri serta memartabatkan Islam di bumi Kelantan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button