Berita Utama

Takut kalah PRU15, Zahid dakwa PH hasut rakyat benci BN

Pembangkang lupa Tun M dulu pernah adakan PRU musim banjir

BANGI, 23 Safar 1444H, Isnin – Barisan Nasional (BN) tidak akan memberikan hayat politik kepada Pakatan Harapan (PH) dan musuhnya menyelesaikan jelajah ke seluruh negara untuk memburukkan parti itu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, pembangkang kini takut menghadapi kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Ini kerana, kepercayaan terhadap PH hilang apabila bekas pemimpinnya, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mahu menyerahkan jawatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kegagalan melaksanakan manifesto sebelum ini.

Atas sebab itu, PH perlu masa untuk menghasut rakyat supaya menolak BN melalui jelajah kempen politiknya yang masih sekerat jalan dan dijangka berakhir Februari tahun depan.

“Masa yang berbaki sebelum Parlimen dibubarkan digunakan oleh musuh BN sebaik-baiknya.

“Mereka berterusan memburukkan BN dan ini sesuai dengan ungkapan Rafizi Ramli tugas mereka ialah menghasut rakyat agar membenci BN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, BN perlu membuktikan bahawa hasutan pembangkang kali ini tidak akan berjaya, kerana rekod 22 bulan PH bukti nyata parti berkenaan hanya menjual harapan semata-mata.

“Manifesto yang mereka kemukakan tidak mereka laksanakan dan dianggap bukan kitab suci. Tindakan ini digunakan untuk menghalalkan mereka yang gunakan manifesto melangit hanya untuk memancing undi untuk menang.

“Namun, BN sebagai blok politik yang stabil dan berpengalaman luas mentadbir tidak bersifat populis dan menjual harapan seperti PH.

“Yang dijanjikan ialah komitmen realistik yang boleh dicapai berdasarkan situasi prestasi ekonomi semasa,” katanya.

Beliau berkata, pembangkang juga menghasut rakyat kononnya mengadakan pilihan raya tahun ini terdedah kepada banjir, sedangkan perkara itu pernah dilakukan bekas Perdana Menteri suatu ketika dahulu.

“Mereka lupa bekas PM terakhir mereka Mahathir sendiri pernah mengadakan PRU pada November 1999 tak pula menjadi isu besar.

“Terbaru tahun lepas PRN Sarawak diadakan pada 18 Disember 2021. Pembangkang pula tewas teruk,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin BN mendakwa bahawa PRU15 sudah semakin hampir dan bakal diadakan pada tahun ini meskipun negara berisiko menghadapi banjir akibat musim tengkujuh pada penghujung tahun.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button