Dunia

Taufan Nanmadol badai Jepun

Ribuan penduduk diarah pindah, ratusan penerbangan dibatalkan

TOKYO, 23 Safar 1444H, Isnin – Taufan kuat membadai selatan Jepun pada Ahad dengan angin kencang dan hujan lebat sehingga menyebabkan perkhidmatan pengangkutan darat serta udara lumpuh, termasuk ribuan penduduk terpaksa dipindahkan.

Ratusan penerbangan domestik juga dibatalkan, sementara perkhidmatan pengangkutan awam seperti kereta api dan bas di pulau Kyushu digantung operasi.

Agensi Meteorologi Jepun berkata, taufan Nanmadol sedang menuju ke utara selepas membadai bandar Kagoshima di Kyushu.

Taufan itu membawa angin maksimum 162 kilometer sejam dan dijangka akan membadai Tokyo pada Selasa.

Agensi cuaca meramalkan taburan hujan yang lebat hari ini dan mengeluarkan amaran banjir serta tanah runtuh, bahkan penduduk di kawasan terjejas juga digesa berpindah lebih awal.

Amaran ribut dan ombak besar berkuat kuasa di Kagoshima, di mana penduduk diarahkan untuk berada di bangunan stabil atau lebih tinggi, jika ia dianggap pilihan lebih selamat berbanding ke pusat pemindahan.

Lebih 12,000 mangsa kini ditempatkan di pusat pemindahan. Di wilayah jiran Miyazaki, kira-kira 8,000 penduduk sudah meninggalkan rumah mereka.

Televisyen nasional NHK melaporkan, seramai 15 orang dilaporkan cedera.

Gangguan bekalan elektrik juga berlaku di seluruh wilayah Kyushu apabila taufan merosakkan banyak talian elektrik dan kemudahan.

Menjelang malam Ahad, 216,450 rumah terputus bekalan elektrik.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button