Berita Utama

Loh Siew Hong peroleh kebenaran mulakan prosiding komital terhadap bekas suami

Kebenaran dibuat selepas dengar permohonan ex-parte

KUALA LUMPUR, 24 Safar 1444H, SelasaIbu tunggal Loh Siew Hong hari ini memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memulakan prosiding komital terhadap bekas suaminya Muhammad Nagahswaran Muniandy yang sebelum ini didakwa melarikan dan menukar agama ketiga-tiga anak mereka kepada Islam.

Hakim Evrol Mariette Peters memberikan kebenaran itu selepas mendengar permohonan ex-parte (sebelah pihak) dikemukakan peguam Gunamalar Joorindanjn, yang mewakili Loh selaku pempetisyen.

Terdahulu, Gunamalar berhujah Muhammad Nagahswaran selaku responden melanggar perintah mahkamah apabila melarikan tiga anak mereka iaitu pasangan kembar perempuan berusia 14 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.

“Responden dari awal lagi mengetahui pempetisyen diberikan hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal ke atas ketiga-tiga anak mereka, namun mereka (anak-anak pasangan itu) diambil daripada ibu mereka tanpa kebenaran pempetisyen. Ini menunjukkan responden tidak menghormati perintah mahkamah ini,” kata Gunamalar yang turut dibantu peguam Tony Thian Yee Chin.

Menurut Gunamalar, permohonan itu hanya difailkan pada 4 Julai lepas kerana keberadaan kanak-kanak itu sebelum ini tidak diketahui.

Pada 15 Jun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk mendapatkan kebenaran menukar perintah hak penjagaan tiga anak yang diperoleh Loh.

Hakim Peters membuat keputusan tersebut selepas mendapati MAIPs gagal menunjukkan bahawa mereka adalah pihak berkepentingan dalam hidup kanak-kanak itu dan memerintahkan MAIPs agar membayar kos RM8,000 kepada Loh.

Beliau berkata, MAIPs juga gagal mendapatkan pandangan bekas suami Loh berhubung permohonan difailkan pada 7 Mac lepas untuk mencelah dalam petisyen perceraian pasangan itu bagi membolehkan ia memiliki locus standi bagi memohon kebenaran menukar perintah hak penjagaan diperoleh wanita tersebut.

Dalam petisyen perceraian itu, Loh, 34, diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal bagi ketiga-tiga anaknya.

Sementara itu, Gunamalar memberitahu, rayuan MAIPs berhubung keputusan mahkamah yang menolak permohonan badan itu untuk menjadi pencelah dalam petisyen perceraian Loh dan bekas suaminya akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 7 Februari 2023. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button