Akaun ‘Dark Side’ Twitter jebak anak muda ke kancah seksual
Pengguna sembunyi identiti, papar aksi tak senonoh, lucah

BANGI, 24 Safar 1444H, Selasa – Kewujudan akaun ‘Dark Side’ atau DS di media sosial yang memaparkan sisi gelap pengguna khususnya ke arah keinginan dan fantasi seksual semakin membimbangkan.
Lebih merunsingkan, apabila ia dimiliki golongan remaja yang sedang meningkat usia dan cenderung untuk mengikuti trend tanpa batas di dunia media sosial.
Apatah lagi, akaun DS ini ‘membenarkan’ penggunanya menyembunyikan identiti sebenar dan mengeksploitasi akaun demi tujuan salah, termasuk khidmat langganan seks dan memuat naik hantaran berkaitan pornografi.
Bahayanya akaun DS ini apabila ia bebas digunakan untuk tujuan peribadi atau jualan, menghamburkan kata-kata lucah dan kesat serta membuat pelawaan kepada pengguna lain untuk menjalinkan hubungan intim.
Dilaporkan, kebanyakan akaun ini wujud di laman sosial Twitter kerana ia adalah salah satu daripada beberapa laman media sosial yang membenarkan kandungan eksplisit tetapi tidak dilabel sebagai ‘mengandungi media sensitif’.
Salah seorang netizen, Mohd Hanif Soffian berkata, sebagai pengguna tegar Twitter sejak 2009, beliau mengesahkan perkara ini.
“Macam-macam bro. jangan buat main sekarang ni. (Mereka) terlalu advance.
“Ada yang memang tak buat servis. Cuma kongsi video, gambar bersama dengan pasangan sahaja. Buat duit katanya. Ramai pula tu sertai,” katanya.
Turut mengakui kewujudan akaun sedemikian, Los Camilos pula berkata, dia sudah kerap kali terjumpa dengan DS di Twitter.
“Memang dah jadi barah lama dah. Gerun tengok. Macam benda biasa pada mereka. Jual gambar bogel RM200,” katanya.
Manakala, Zirwatul Syemma meluahkan kebimbangan dengan gejala tersebut dan berharap agar anak-anak zaman sekarang dilindungi.
“Allahu Akbar… Risaunya dengan keadaan anak-anak sekarang ni. Semoga anak-anak kita dilindungi dan dijauhkan dari perkara yang buruk,” katanya.
Sementara itu, seorang guru, Piravin Nair turut memberikan pandangan dalam isu ini dan menggesa semua pihak berganding bahu menyelesaikan masalah tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak.
“Sebagai seorang guru, bagi saya tak adil jika masalah ini diletakkan 100 peratus atas kesalahan budak. Kemenjadian perwatakan seseorang adalah bukan kejadian yang berlaku dalam satu masa atau sekelip mata.
“It is a collective events that happened in a person’s life that shaped who she/he is today. Carilah akar kepada punca sesuatu masalah bukan pada masalah itu sendiri.
“Kenapa terjadi begini, apa punca dia, bagaimana kita boleh membantu tanpa menyerang. Cukup-cukuplah kita selalu menyalahkan golongan budak dan remaja yang masih mentah usianya di dunia tanpa memberi solusi positif dan membina sebaliknya mengambil langkah mudah untuk menyerang dan menyalahkan.
“Saya doakan ibu bapa, guru, rakan sebaya, masyarakat dan komuniti dapat membantu mereka tanpa perlu menghukum, mencaci, menilai dan menjatuhkan maruah mereka tanpa memahami ‘collective events’ yang menjadi akar terhadap penciptaan personaliti itu,” katanya.
Seorang lagi guru turut meluahkan rasa kecewa apabila kebanyakan pemilik akaun DS seolah berbangga dapat bertukar pasangan, mengamalkan seks bebas dan songsang.
“Entah macam mana nak bendung gejala ini. Semoga ada cara dapat bendung gejala DS ini dari terus berleluasa.
“Apa nasib anak bangsa dan generasi kita bila benda ni berterusan?,” luahnya di akaun media sosial.