Berita Utama

Bukan musuh, PAS tetap mahu bersama UMNO

Kerjasama parti Melayu-Islam dapat elak pertandingan lebih dua penjuru

BANGI, 24 Safar 1444H, Selasa – PAS kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai rakan ta’awun sekali gus tidak bersetuju sama sekali dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti. 

Sebaliknya, PAS tetap menegaskan bahawa musuh sebenar agenda penyatuan ummah adalah Pakatan Harapan (PH) dan sekutu-sekutunya termasuk ‘khemah besar’.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS yakin agenda penyatuan ummah dan perpaduan nasional di antara orang Melayu-Islam, kaum Bumiputera dan rakyat pelbagai kaum di negara ini hanya dicapai sekiranya kestabilan politik dapat diwujudkan selepas PRU15.

“Justeru itu, PAS terus berusaha dengan pelbagai pendekatan antaranya menyeru seboleh mungkin parti-parti yang mewujudkan kerajaan Persekutuan sekarang dapat terus bekerjasama menghadapi PRU15 nanti.

“… seterusnya membentuk sebuah kerajaan baharu yang lebih mantap dan berautoriti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Takiyuddin berkata, PAS yakin gabungan atas konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional sahajalah mampu menjadi formula terbaik dan berkesan serta diterima oleh majoriti pengundi.

Katanya, ia sejajar dengan usaha mewujudkan sebuah Kerajaan Prihatin Rakyat dengan langkah penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada seluruh rakyat.

Pada masa sama, katanya, supaya dapat memberikan perhatian khusus kepada aspek semak dan imbang (check and balance).

“PAS amat optimis hanya dengan perpaduan dan kerjasama politik di antara parti-parti utama Melayu-Islam sahaja akan dapat mengelakkan pertandingan lebih dari dua penjuru dalam PRU15 nanti. 

“Ini bukan sahaja dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan yang adil dan saksama kepada semua rakyat merentasi kaum, agama, bangsa dan budaya, tetapi juga mengelakkan berulangnya sejarah hitam yang berlaku semasa PRU14,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button