Berita UtamaDunia

Ibu bapa protes tindakan jahat Israel seleweng buku teks Palestin

‘Kami tak akan biarkan identiti anak-anak dirobek Zionis'

BAITULMAQDIS, 24 Safar 1444H, Selasa – Keluarga pelajar sekolah Al Iman, Baitulmaqdis yang diduduki menganjurkan protes bagi menentang pelaksanaan kurikulum Israel di sekolah Palestin.

Pihak berkuasa Israel dilaporkan bertindak ‘jahat’ menyeleweng dan memutar belit kandungan buku teks dalam kurikulum mereka.

“Rejim haram memadamkan identiti Palestin,” kata keluarga pelajar sambil menegaskan sama sekali tidak akan bertolak ansur dengan Zionis. 

Mereka menaikkan plakad “Kami menolak buku teks Israel”.

Tindakan protes itu sebagai menuntut hak kanak-kanak belajar kurikulum Palestin dan bukan daripada Israel yang diselewengkan.

Tareq Okosh, bapa kepada salah seorang pelajar Palestin, memberitahu: “Keluarga Baitulmaqdis berkumpul di sini untuk menghantar mesej yang jelas.”

“Kami adalah keluarga generasi masa depan yang akan mempertahankan kota (Baitulmaqdis) ini.

“Kami tidak membenarkan identiti sebenar anak-anak kami dirobek dan disekat pendudukan Israel. 

“Kami tidak akan membenarkan sesiapa jadikan mereka lupa bahawa mereka adalah rakyat Palestin, Arab dan Muslim yang memegang bendera mempertahankan tapak suci di bandar ini.”

Mengakhiri ucapannya, beliau berkata: “Manusia ada identiti. Jika dia kehilangan identitinya, dia telah kehilangan segala-galanya,” menunjukkan bahawa penjajahan itu bermula dengan kurikulum dan bergerak secara beransur-ansur kepada perkara yang lain. 

Pada 28 Julai, Menteri Pendidikan Israel, Yifat Shasha-Biton telah membatalkan lesen operasi tetap enam sekolah Al Iman, dengan alasan kurikulum mereka mengandungi ‘hasutan berbahaya’ terhadap kerajaan dan tentera Israel.

Enam sekolah itu, kata Menteri Israel, akan diberikan lesen setahun bersyarat untuk meminda kurikulum mereka atau kehilangan lesen mereka sepenuhnya.

Perbandaran Israel di Baitulmaqdis mencetak semula buku teks Palestin selepas memadam semua yang berkaitan dengan identiti Palestin, termasuk Nakba, tawanan, pencerobohan Israel dan sebarang petunjuk bahawa Baitulmaqdis Timur adalah ibu kota negara Palestin masa hadapan. – Agensi

Pautan berkaitan:

Israel seleweng silibus buku teks sekolah Palestin

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button