Berita Utama

Jenayah komersial terus meningkat di Pahang

Kes tipu paling tinggi babitkan kerugian RM33 juta

KUANTAN, 24 Safar 1444H, Selasa – Kes jenayah komersial terus mencatatkan peningkatan di Pahang apabila 1,410 kes dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Ogos lepas, meningkat 269 kes berbanding 1,141 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff berkata, kes tipu merupakan penyumbang utama dalam peningkatan itu, dengan 1,334 kertas siasatan melibatkan kerugian lebih RM33 juta direkodkan berbanding 1,050 kes dengan kerugian lebih RM35 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

“Bagaimanapun, 154 tangkapan berjaya dilaksanakan dalam Op Mule Khas, yang membabitkan kes jenayah komersial dalam tempoh 1 hingga 31 Julai lepas, melepasi sasaran 150 tangkapan ditetapkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

“JSJK Pahang juga telah berjaya melepasi 40 peratus kadar pertuduhan yang ditetapkan, apabila mencatatkan kadar pertuduhan 47.38 peratus,” katanya pada perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Sementara itu, statistik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) pula menunjukkan 1,289 kes telah dibuka, mencatatkan penurunan 5.91 peratus berbanding 1,370 kes tempoh yang sama tahun 2021.

Abdul Razak berkata, kes trafik pula menunjukkan peningkatan, apabila Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) merekodkan 14,674 kes setakat tahun ini, berbanding 9,013 kes pada tahun lepas, dengan jumlah kemalangan maut sebanyak 250 kes yang melibatkan 294 kematian, berbanding 181 kes dengan 195 kematian pada tahun 2021. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button