Berita Utama

Letak rakyat dalam bahaya jika PRU15 pada musim tengkujuh: Tun M

Wajar tangguh perancangan berkenaan sehingga keadaan jadi reda

BANGI, 24 Safar 1444H, Selasa – Desakan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika negara berdepan banjir akan memberi risiko sekali gus meletakkan rakyat dalam bahaya.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, situasi berkenaan hanya  memberi risiko berikutan negara ini tidak terkecuali daripada terkesan dengan perubahan iklim.

“Sekarang negara sedang mengalami perubahan iklim yang memperlihatkan malapetaka sangat dahsyat sampai rumah-rumah semua tenggelam.

“Jika dulu diadakan pilihan raya umum pada hujung tahun tak apa, (walaupun) ada banjir tapi tak dahsyat, tapi jika diadakan pada waktu sekarang, mungkin ada rakyat boleh mati kerana banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Up Close and Personal bersama Mahathir yang diadakan bersama penggiat seni di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini.

Dr Mahathir berkata, sekiranya PRU diteruskan pada saat sukar ini tidak mustahil rakyat yang layak mengundi akan kehilangan hak mereka apabila akses untuk membuat pilihan berdepan masa sukar.

Atas dasar itu, katanya, kerajaan wajar menangguhkan perancangan berkenaan sehingga keadaan menjadi reda.

“Sepatutnya kerajaan tunggu sampai keadaan jadi lebih baik, tak ada angin kencang dan banjir dan kalau boleh tunggu situasi reda sampai tahun depan, jika perlu,” ujarnya.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pihaknya bersedia untuk mengadakan PRU15 walaupun negara berkemungkinan berdepan dengan ancaman bah besar serta musim tengkujuh.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO turut memberi gambaran sama PRU15 akan diadakan ‘tidak lama lagi’ meskipun tiada sebarang isyarat jelas mengenai langkah ke arah itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button