Berita Utama

PRU15: PAS tidak bubar DUN di tiga negeri yang diterajui

Konsisten mahu PRU15 diadakan sehingga tempoh pemerintahan berakhir: Ahmad Samsuri

BANGI, 24 Safar 1444H, Selasa – PAS bertegas tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri yang diterajui iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu sekiranya berlaku pembubaran Parlimen dalam masa terdekat.

Sebaliknya parti itu konsisten untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga tempoh penggal pemerintahan berakhir, demikian tegas Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya, tindakan berkenaan diambil bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat.

“Setakat ini, tiada ada perubahan (tidak akan bubarkan) kerana apa yang penting bagi kita ialah kita tidak menyusahkan rakyat, bukan kepentingan parti-parti politik semata-mata, parti politik ini sudah jadi medium untuk memberikan khidmat kepada rakyat.

“Apa yang penting ialah kita tengok rakyat selesa atau tidak. Kalau rakyat berada dalam keadaan kurang selesa akibat banjir, kenapa kita mahu paksa sesuatu yang rakyat rasa tidak selesa.

“Kita biarkan suasana ekonomi berkembang dan sebagainya, itu pandangan peribadi saya,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

17 September lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pihaknya bersedia meredah banjir dan hujan sekiranya PRU15 diadakan tahun ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyifatkan, isyarat diberikan ahli parti supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat adalah jelas dan nyata.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berpandangan, PRU15 dilihat tidak sesuai diadakan pada musim banjir kerana rakyat berada dalam keadaan tidak selesa ketika itu.

Beliau berpandangan, kerajaan tidak sepatutnya memaksa rakyat mengundi ketika mereka berdepan kesusahan menghadapi banjir.

“Pada waktu itu, sewajarnya kerajaan perlu memberi keutamaan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat berhadapan banjir,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button