Berita Utama

Sanggup redah banjir: Annuar kata kenyataan Zahid disalah tafsir

PRU15 ketika musim tengkujuh tidak sesuai

PUTRAJAYA, 24 Safar 1444H, Selasa – Kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini telah disalah tafsir, kata Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, kenyataan Ahmad Zahid itu merujuk kepada tahap siap siaga jentera BN, yang bersedia sepenuhnya bagi menghadapi PRU15 walau dalam apa jua keadaan.

“Saya suka ambil pendirian positif mengenai kenyataan Presiden Ahmad Zahid yang menekankan sudah siap siaga kalau PRU15 ketika banjir sekali pun, tidak semestinya maksudnya nak adakan PRU15 walaupun banjir.

“Saya tolong betulkan (salah tafsir), ia bukan soal nak adakan PRU15 ketika banjir. Kenyataan ini sudah disalah ertikan kerana ia (kenyataan) tidak dikeluarkan secara dasar,” katanya.

Annuar berkata demikian mengulas kenyataan Ahmad Zahid ketika berucap di majlis pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Sabtu lepas bahawa BN sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika PRU15 diadakan tahun ini.

Annuar berpandangan, pelaksanaan PRU15 ketika musim tengkujuh sebagai suatu tindakan tidak sesuai, kerana bencana akan menjadi faktor penghalang kepada rakyat negara ini untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Apabila pilihan raya diadakan, aspek kemudahan untuk keluar mengundi, suasana aman dan persekitaran selamat perlu diambil kira.

“Kalau PRU15 diadakan ketika musim banjir, mesti nak selamatkan nyawa dulu kan? Mesti mahu selamatkan harta, rumah manakala pengangkutan mungkin jadi payah. Melihat kepada situasi ini, agaknya selari tak dengan prinsip mengadakan PRU bagi memberi peluang rakyat menggunakan haknya,” kata Annuar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu lepas dilaporkan berkata tarikh pembubaran Parlimen akan diumumkan tidak lama lagi untuk memberi laluan kepada PRU15. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button