Berita Utama

Trauma dan takut dengan pemerintahan PH perlu disuburkan

BERJASA gesa rakyat untuk kuburkan PH buat selama-lamanya

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 24 Safar 1444H, Selasa – Perasaan takut dan trauma rakyat terhadap pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) perlu disuburkan.

Ia penting bagi memperingati bahawa PH bukanlah gabungan yang boleh diharapkan dalam menjaga keharmonian kaum di negara ini.

Sehubungan itu, Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim menggesa, jangan sesekali memberi ruang kepada PH untuk kembali memerintah.

Mereka ini, dakwa beliau bukan sahaja gagal menunaikan janji malah mentadbir negara dalam keadaan huru-hara.

“Walaupun PH mendakwa banyak pembaharuan dan reformasi dilakukan sepanjang 22 bulan termasuk membuktikan penyelewengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak namun rakyat tidak boleh lupakan mimpi ngeri tersebut dengan memerintah dalam keadaan tidak bersedia, berpecah belah selain menjatuhkan antara satu sama lain.

“Kalau betul PH sebuah parti yang cintakan pembersihan dan integriti, bencikan rasuah kenapa mereka tidak ‘bersihkan’ parti mereka terlebih dahulu dan betulkan individu penting dalam parti mereka dahulu, yang nyata terlibat dalam penyelewengan.

“Jangan pilih individu tertentu sahaja, jangan buat tindakan memilih kerana rakyat hari ini sudah bijak dan pandai menilai sendiri,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata, banyak transformasi dan reformasi institusi boleh dilakukan sekiranya rakyat memberi peluang sekali lagi kepada PH untuk memerintah negara.

Zamani pada masa sama berpandangan, PH adalah sebuah pakatan yang gagal membawa misi seimbang untuk bangsa dan agama.

Keadaan itu, dakwanya bercanggah dengan prinsip perpaduan berteraskan persefahaman antara kaum dan agama di negara ini.

“Saya sebagai Presiden BERJASA menggesa rakyat supaya terus celik dan kenang semula peristiwa hitam 22 bulan yang membuatkan semua rakyat tertekan terutama orang Islam di negara ini yang bimbang kuasa dan hak orang Melayu khususnya akan disamaratakan,” tegas beliau.

Justeru beliau menggesa agar PH perlu dikuburkan selama-lamanya kerana mentadbir dalam keadaan kucar-kacir.

Katanya, rakyat perlu mencari pemimpin yang boleh memartabatkan negara, keharmonian dan mengurus tadbir sumber dengan baik.

Pautan berkaitan:
https://ismaweb.net/2022/09/19/pengalaman-buruk-tadbir-negara-asbab-pas-kelantan-tolak-ph/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button