Berita Utama

JBPM sediakan 1,800 aset hadapi kemungkinan banjir

Termasuk sembilan helikopter yang akan memantau kawasan berisiko

ALOR SETAR, 25 Safar 1444H, Rabu – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyediakan sebanyak 1,800 asetnya sebagai persiapan menghadapi kemungkinan bencana banjir ekoran Monsun Timur Laut (MTL) pada tahun ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata aset tersebut melibatkan operasi di darat, air dan udara termasuk sembilan helikopter yang akan memantau kawasan berisiko.

“Helikopter ini kita sediakan mengikut pangkalan udara yang kita ada beroperasi seperti di Miri, Sarawak untuk operasi di Borneo, zon tengah dan selatan kita ada pangkalan udara di Subang, Selangor.

“Bagi kawasan utara dan pantai timur pula kita ada di Bertam, Pulau Pinang. Sembilan helikopter ini kami sediakan untuk kerja-kerja pemantauan dan kerja-kerja penyelamatan selain penyaluran bantuan yang diperlukan semasa bencana,” katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat persediaan menghadapi MTL oleh JBPM Kedah, di sini hari ini.

Menurutnya pada masa sama, JBPM membuat pemantauan ke lokasi dikenal pasti menerusi tinjauan udara menggunakan dron bagi melihat perubahan keadaan agar tindakan segera dapat dilakukan.

Mohammad Hamdan berkata pihaknya juga akan membekukan cuti kepada anggota JBPM mengikut keperluan dan situasi semasa agar jabatan itu dapat mengoptimumkan perkhidmatannya semasa banjir.

Dalam pada itu, beliau berkata walaupun ada negeri yang tidak tersenarai sebagai ‘hotspot’ banjir pada musim MTL ini, pihaknya akan tetap bersiap siaga memandangkan bencana itu boleh berlaku tanpa diduga.

“Daripada pengalaman kita tahun lepas, ada ‘hotspot’ yang kita tidak jangka, tapi berlaku banjir dengan begitu parah sekali menyebabkan satu kejutan kepada komuniti di kawasan berkenaan dan untuk operasi penyelamatan serta pemindahan mangsa,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button