Bekas Ketua Menteri Melaka meninggal dunia
Allahyarham Datuk Seri Mohd Adib dijangka dikebumikan selepas Asar

BANGI, 25 Safar 1444H, Rabu – Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Adib Mohamad Adam menghembuskan nafas terakhir hari ini.
Perkara itu dikongsi Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menerusi catatan di Facebook rasminya.
“Bagi pihak kerajaan negeri, saya merakamkan salam takziah buat seluruh ahli keluarga di atas kepulangan ke rahmatullah Allahyarham Datuk Seri Mohd Adib Mohamad Adam, mantan Ketua Menteri Melaka dan Menteri Persekutuan, hari ini.
“Allahyarham merupakan mantan Ketua Menteri Melaka kelima bagi tempoh 11 Julai 1978 hingga 26 April 1982.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman, Al-Fatihah,” katanya, hari ini.
Selain menjadi Ketua Menteri, Allahyarham juga pernah menjawat jawatan Menteri Penerangan dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Koperasi dan Usahawan.
Allahyarham dijangka dikebumikan selepas Asar di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, Ulu Klang.