Berita Utama

BN terlalu gila kuasa desak PRU15 ketika musim banjir

'Dahlah PRU guna duit rakyat, digadai pula nyawa demi undi'

BANGI, 26 Safar 1444H, Rabu – Parti BERJASA kekal mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada masa sesuai atas dasar mengambil kira keadaan rakyat.

Dalam kenyataan hari ini, BERJASA menyelar kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa parti itu sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika PRU15 diadakan tahun ini.

Menurut BERJASA, PRU15 perlu diadakan pada masa yang sesuai dan bukan ketika rakyat berdepan kerisauan serta kesempitan seperti risiko menghadapi banjir akibat musim tengkujuh.

“Sudahlah PRU menggunakan duit rakyat, menggadaikan lagi nyawa rakyat untuk meredah banjir demi membuang undi.

“Adakah BN terlalu ‘penting diri’ dan ‘gila kuasa’ sehingga tidak mahu untuk memikir sehabis baik tentang solusi yang terbaik dalam menangani banjir ini?

“Adakah BN akan bertanggungjawab sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini sekiranya PRU dijalankan semasa musim banjir?,” kata BERJASA dalam kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.

Kenyataan Ahmad Zahid itu bukan hanya dikritik rakyat, bahkan juga parti bersama kerajaan iaitu Perikatan Nasional (PN) dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir dalam satu majlis semalam menyifatkan desakan mengadakan PRU15 ketika negara berdepan banjir akan memberi risiko sekali gus meletakkan rakyat di dalam bahaya.

“Jika dulu diadakan pilihan raya umum pada hujung tahun tak apa, (walaupun) ada banjir tapi tak dahsyat, tapi jika diadakan pada waktu sekarang, mungkin ada rakyat boleh mati kerana banjir,” katanya.

Isnin lalu, Ahmad Zahid – yang berdepan pertuduhan di mahkamah – mempertahankan tindakannya itu dan mendakwa bahawa PRU ketika hujung tahun pernah dilakukan oleh Dr Mahathir.

“Mereka lupa bekas PM terakhir mereka Mahathir sendiri pernah mengadakan PRU pada November 1999 tak [ula menjadi isu besar,” dakwa Ahmad Zahid.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button