Berita Utama

Cop tandatangan Zahid Hamidi dalam kawalan Mejar Mazlina

Digunakan terhad kepada urusan cop sijil dan kad perayaan

KUALA LUMPUR, 25 Safar 1444H, Rabu – Bekas Setiausaha Akhbar Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau mengetahui kewujudan cop tandatangan bekas timbalan perdana menteri itu yang berada dalam kawalan dan pegangan Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.

Mejar Jeneral (B) Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican berkata cop itu juga digunakan terhad kepada urusan cop sijil dan kad perayaan melibatkan Ahmad Zahid.

“Ini kerana saya pernah membawa beberapa sijil penghargaan kepada Mejar Mazlina (bekas setiausaha eksekutif Ahmad Zahid) untuk dicop menggunakan cop tandatangan milik Datuk Seri Zahid atas arahan Datuk Seri Zahid sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada prosiding membela diri Ahmad Zahid atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi (YAB).

Saksi pembelaan kedua itu berkata beliau perlu memantau Mazlina kerana wanita itu melakukan kecuaian dalam mengendalikan akaun peribadi Ahmad Zahid.

Fadzlette berkata beliau tahu tentang isu-isu kecuaian Mazlina kerana Ahmad Zahid pernah memaklumkan kepadanya dan mengarahkannya memantau tindakan wanita itu kerana pangkat beliau (Fadzlette) lebih tinggi dalam angkatan tentera.

“Saya memaklumkan kepada Mejar Mazlina berkenaan pesanan yang disampaikan oleh Ahmad Zahid itu. Saya pernah meminta Mejar Mazlina untuk menunjukkan penyata-penyata kad kredit dan cek-cek yang disediakan sebelum dibawa untuk ditandatangani oleh Ahmad Zahid.

“Bagaimanapun, Mejar Mazlina sentiasa memberikan pelbagai alasan dan helah serta tidak pernah menunjukkan kepada saya apa yang diminta oleh saya. Perkara ini berterusan dan adakalanya disebabkan tugasan rasmi saya yang berterusan, saya juga terlepas pandang untuk memantau dan mengambil tindakan susulan ke atas Mejar Mazlina berhubung perkara ini,” katanya.

Mengenai isu kerja, Fadzlette yang merupakan Pengarah Media kepada Presiden UMNO itu berkata beliau dan Mazlina perlu sentiasa berhubung untuk memastikan koordinasi perjalanan kerja berjalan lancar, namun sukar untuk bekerja dalam satu pasukan bersama Mazlina.

Beliau berkata Mazlina adalah seorang yang tidak bergaul dengan pegawai-pegawai lain dan selalu tidak hadir ke mesyuarat mingguan pegawai di pejabat Timbalan Perdana Menteri.

“Saya perhatikan dia (Mazlina) suka bersendirian dan tidak berkongsi pendapat bersama pegawai lain.

“Semasa di Kementerian Dalam Negeri, Mejar Mazlina tidak pernah menghormati saya, tidak mengikut arahan saya, malahan tidak mempedulikan sebarang arahan yang saya berikan, walaupun ia adalah satu arahan melibatkan tugas rasmi,” katanya.

Pada prosiding sebelum ini, Ahmad Zahid memberitahu mahkamah bahawa Mazlina telah menggunakan cop tandatangannya pada cek Yayasan Akalbudi untuk membayar kad kredit persendirian milik beliau dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis tanpa pengetahuannya, sebaliknya cop tersebut sepatutnya digunakan untuk sijil penghargaan dan kad perayaan.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button