Berita Utama

Dakwaan kerajaan gagal urus ekonomi tidak berasas: Tengku Zafrul

Fakta, angka berkaitan sudah cukup gambarkan realiti sebenar

KUALA LUMPUR, 25 Safar 1444H, Rabu – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyangkal dakwaan segelintir pihak bahawa kerajaan gagal menguruskan ekonomi negara, selain menegaskan fakta dan angka berkaitan sudah cukup untuk menggambarkan realiti sebenar.

Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas sama sekali, beliau berkata, ekonomi negara berkembang pesat dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama dan kedua tahun ini mencatatkan pertumbuhan yang amat memberangsangkan dan momentum positif itu dijangka berterusan pada suku ketiga serta keseluruhan tahun ini.

“KDNK kita tumbuh 8.9 peratus pada suku kedua dan 5.1 peratus pada suku pertama. Ini menunjukkan pertumbuhan, kadar pengangguran (juga) semakin menurun, pelaburan langsung asing (FDI) pun meningkat.

“Ini tidak menunjukkan ekonomi yang gagal. Fakta dan angka bukan satu pembohongan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pembangunan dan Pembiayaan Perumahan Hijau di Asia di sini, pada Rabu.

Terdahulu, menerusi kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF), Tengku Zafrul berkata, pihaknya akan terus memberi penekanan kepada pembaharuan struktur penting bagi membina daya tahan ekonomi negara pada masa hadapan di samping membendung inflasi negara dan menghadapi persekitaran global semasa yang tidak menentu.

Sebagai ekonomi terbuka dengan jumlah perdangangan melebihi 120 peratus daripada KDNK, kerajaan akan terus proaktif bagi mempersiapkan negara dalam menghadapi cabaran-cabaran tersebut, katanya.

Beliau berkata, ekonomi negara pada suku keempat 2022 dan tahun 2023 dijangka lebih mencabar kerana prospek ekonomi global bakal melembap ekoran ketegangan geopolitik di antara Amerika Syarikat dan China yang berterusan, peperangan di Ukraine yang masih tiada kesudahan, serta dasar sifar COVID-19 di China yang telah menjejaskan bekalan rantaian dunia.

Walaupun pelbagai aspek luaran sangat mencabar sejak awal 2022, dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan telah berjaya membantu ekonomi Malaysia pulih, terutamanya sektor-sektor yang terjejas teruk semasa pandemik COVID-19 seperti pelancongan, peruncitan dan penerbangan, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button