Dunia

Ebola: Strain Sudan dikesan di Uganda

6 kematian mencurigakan direkod setakat bulan ini

KAMPALA, 26 Safar 1444H, Rabu – Wabak virus Ebola telah diisytiharkan di Uganda selepas terdapat kes di daerah Mubende, di tengah negara itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, sampel yang diambil daripada seorang lelaki berusia 24 tahun dikenal pasti sebagai strain Sudan – agak jarang berlaku.

Ia adalah kali pertama dalam lebih sedekad strain Sudan ditemukan di Uganda, yang turut menyaksikan wabak virus Ebola strain Zaire pada 2019.

Wabak terbaharu itu menyusuli enam kematian yang mencurigakan di daerah Mubende setakat bulan ini.

Terdapat juga lapan kes yang disyaki sedang menerima rawatan di kemudahan kesihatan.

Pengarah Serantau WHO untuk Afrika, Dr Matshidiso Moeti berkata, agensi itu bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Uganda untuk menyiasat sumber dan menyokong usaha mengawalnya.

“Uganda tidak asing dengan kawalan Ebola yang berkesan.

“Terima kasih kepada kepakarannya, tindakan telah diambil untuk mengesan virus dengan cepat dan kami boleh menggunakan pengetahuan ini untuk menghentikan penyebaran jangkitan,” katanya.

Vaksin sedia ada terhadap Ebola telah terbukti berkesan terhadap strain Zaire tetapi tidak jelas sama ada ia akan berjaya melawan strain Sudan, kata WHO dalam satu kenyataan.

Ebola adalah penyakit teruk yang selalunya membawa maut kepada manusia dan primata lain.

Ia mempunyai enam strain berbeza, tiga daripadanya – Bundibugyo, Sudan dan Zaire – sebelum ini pernah menyebabkan wabak besar.

Kadar kematian kes strain Sudan telah berubah daripada 41 peratus hingga 100 peratus dalam wabak terdahulu.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button