Berita Utama

Kerajaan setuju ambil 10,000 pekerja asing dari Sri Lanka

Salah satu usaha bantu Sri Lanka berdepan krisis ekonomi terburuk

BANGI, 25 Safar 1444H, Rabu – Jemaah Menteri bersetuju bagi pengambilan 10,000 pekerja warga asing dari Sri Lanka dengan mengambil kira keadaan negara berkenaan yang dilanda krisis ekonomi.

Pengambilan itu telah dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 September lalu, menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata, kerajaan Sri Lanka telah mengemukakan permohonan rasmi untuk membekalkan tenaga kerja dan memohon kuota sebanyak 10,000 pekerja.

“Ini merupakan salah satu usaha kerajaan untuk membantu Sri Lanka yang berdepan krisis ekonomi terburuk di negara itu.

“Saya menggesa pihak industri dan majikan untuk memberi sokongan kepada niat murni kerajaan ini dengan menggajikan pekerja warga asing dari Sri Lanka bagi mengisi kekosongan pekerjaan dalam sektor yang dibenarkan untuk pengambilan pekerja warga asing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau berkata, mana-mana majikan yang telah diberi kelulusan kuota dan menyelesaikan bayaran levi boleh merebut peluang berkenaan.

“Sehingga 14 September 2022, bayaran levi telah dibuat bagi 416,634 permohonan pekerja warga asing.

“Bagi mana-mana majikan yang berminat, mereka boleh terus menghubungi Bahagian Pengurusan Pekerja Migran KSM ([email protected]) atau Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia ([email protected]) untuk maklumat lanjut,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button