Dunia

Al-Quran dihina lagi di Sweden

Momika ulangi perbuatan keji bakar kitab suci umat Islam

STOCKHOLM, 28 Muharram 1445H, Selasa – Tatkala Sweden mendakwa negaranya dalam usaha menangani perbuatan menghina al-Quran dan serangan Islamofobia, tindakan keji ke atas kitab suci umat Islam masih dilaporkan berlaku di ibu negara, Stockholm.

Dalam insiden terbaharu pada Isnin, pelarian Iraq yang menetap di Sweden, Salwan Momika sekali lagi melakukan perbuatan keji menghina dan membakar naskhah al-Quran di hadapan bangunan Parlimen di Stockholm.

Momika yang turut dibantu rakannya, Salwan Najem dari Iraq, melaungkan slogan anti-Islam sebelum memijak al-Quran dan akhirnya membakar naskhah kitab suci itu.

Momika dan Najem bagaimanapun berdepan reaksi sekumpulan aktivis Sweden yang meminta mereka menghentikan tindakan provokasi itu.

Polis melindungi penyerang dan menangkap salah seorang aktivis yang bertindak untuk menggagalkan serangan berkenaan.

Terdahulu, Momika membakar al-Quran di bawah perlindungan polis di hadapan Masjid Stockholm pada 28 Jun lalu, iaitu ketika umat Islam menyambut Aidiladha.

Beberapa bulan kebelakangan ini, dunia berulang kali menyaksikan perbuatan membakar dan mencemarkan al-Quran oleh tokoh atau kumpulan Islamofobia, terutamanya di negara Eropah utara dan Nordik.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button