Berita Utama

PRU15 musim tengkujuh, UMNO sengaja susahkan rakyat: Mukhriz

Hak rakyat untuk undi perlu dipermudahkan demi demokrasi

BANGI, 25 Safar 1444H, Rabu – UMNO dilihat sengaja menyusahkan rakyat apabila bertegas mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hujung tahun ini walaupun ketika itu diramalkan banjir.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sepatutnya hak rakyat untuk mengundi dipermudahkan sebagai lambang negara mengamalkan prinsip demokrasi.

Katanya, jika diteruskan UMNO akan ‘dihukum’ oleh pengundinya sendiri.

“Kalau nak buat juga tengah banjir rakyat akan tetap keluar mengundi ramai-ramai untuk hukum UMNO kerana tak fikir nasib rakyat.

“Kalau nak buat pilihan raya juga dan ada rakyat terkorban sebab nak pergi mengundi redah banjir kita bagi hilang teruslah UMNO di muka bumi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Jerlun itu menjelaskan, rakyat sepatutnya dipermudahkan supaya hak memilih wakil dapat berjalan lancar.

“UMNO jangan anggap rakyat hari ini bodoh, kalau yakin benar boleh menang PRU, jangan buat masa banjir tunggu masa reda bagi tenang dahulu supaya ramai boleh keluar mengundi dan kita tengok siapa boleh menang,” tegasnya.

Mukhriz berkata, strategi UMNO untuk mengadakan PRU15 ketika musim tengkujuh dibuat semata-mata untuk mengulangi kemenangan mereka dalam siri pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.

“Benda ini pernah berlaku di Melaka dan Johor tetapi masa itu hampir separuh pengundi tak keluar sebab meluat pada politik dan tak ada pilihan yang mereka boleh atasi Barisan Nasional (BN). Kali ini pula rakyat tak akan keluar sebab banjir macam mana nak keluar mengundi kalau rumah tenggelam.

“Teorinya kalau tidak ramai pengundi keluar masa PRU, penyokong tegar (UMNO) semua keluar mengundi bahawa mereka boleh menang dan tubuh kerajaan,” katanya.

17 September lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, pihaknya bersedia mengadakan PRU15 walaupun negara berkemungkinan berdepan ancaman bah besar serta musim tengkujuh.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November depan yang membawa kepada banjir besar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button