Rumah Siswa inisiatif untuk pelajar luar kampus: KPT
RSS platform mudahcara pelajar dapatkan kediaman sewa sekitar kampus

BANGI, 26 Safar 1444H, Rabu – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah melancarkan inisiatif Rumah Siswa pada tahun 2021 bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar luar kampus terpelihara.
Atas dasar KPTPrihatin, kementerian itu berkata, inisiatif berkenaan turut merangkumi penubuhan Unit Pengurusan Pelajar Luar Kampus (UPLK) di semua Universiti Awam (UA) dan pembangunan Portal Rumah Sewa Siswa (RSS).
Katanya, portal RSS yang boleh diakses melalui pautan rumahsiswa.mohe.gov.my berperanan menyediakan platform bagi memudahcarakan usaha pelajar mencari dan mendapatkan kediaman sewa di sekitar kampus.
“Tambahan, penyenaraian premis di dalam portal ini dilaksanakan oleh pegawai UA sendiri yang bertanggungjawab meneliti dan memastikan kediaman yang dikenalpasti adalah kondusif bagi penginapan pelajar dari aspek kadar sewaan, fasiliti yang disediakan dan keselamatan lokaliti premis.
“Sehingga 19 September 2022, seramai lebih 29,000 orang pelajar dari seluruh negara telah berdaftar bagi pencarian rumah sewa menerusi portal RSS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, KPT juga akan terus memantau pentadbiran portal RSS bagi memastikan lebih banyak premis untuk penyewaan tersenarai dengan kadar mampu milik bagi memenuhi keperluan menginap di luar kampus terutamanya bagi persediaan kemasukan Semester Akademik 1 Tahun 2022/2023 nanti.
Kementerian itu turut menyarankan pihak UA menerusi UPLK supaya terus menyantuni pelajar yang berkeperluan mendapatkan penginapan di luar kampus agar sebarang cabaran yang dihadapi mereka dapat sentiasa dibantu serta dipermudahkan.
“Pelajar juga dinasihatkan sentiasa berhubung dengan pihak UPLK di UA masing-masing bagi mendapatkan khidmat nasihat dalam pencarian rumah, hal ehwal kontrak sewaan dan perundingan yang berkaitan.
“KPT dengan kerjasama Majlis Perumahan Universiti-Universiti Malaysia (MAPUM) juga meneliti ketersediaan kapasiti penginapan pelajar di dalam dan luar kampus bagi mengoptimumkan keperluan pelajar yang semakin meningkat,” katanya.
Katanya, KPT terus komited agar pelajar luar kampus sentiasa mendapat kediaman yang selamat, mampu milik dan kondusif menerusi capaian yang mudah serta pantas selari dengan aspirasi menjamin kesejahteraan pelajar di institusi pendidikan tinggi.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai keluhan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang sukar mendapatkan rumah sewa berhampiran di kawasan kampus di Shah Alam, Selangor.
Memetik media tempatan, rata-rata mereka meluahkan kekecewaan apabila pemilik rumah meletakkan deposit sehingga RM9,000, dan ada juga mendakwa penuntut tidak dibenarkan meninjau rumah sewa selagi tidak membayar wang deposit.