Berita Utama

Sindiket penipuan kerja: Jawatankuasa khas diketuai Kementerian Luar diwujudkan

Kerajaan amat prihatin dengan nasib keluarga dan rakyat Malaysia

PUTRAJAYA, 25 Safar 1444H, Rabu – Satu Jawatankuasa Khas pelbagai agensi diketuai Kementerian Luar akan diwujudkan bagi memastikan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di beberapa negara dibawa pulang dengan selamat.

Mengumumkan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata keputusan mewujudkan Jawatankuasa Khas itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Katanya, Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah membincangkan isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara ekoran sindiket penipuan tawaran pekerjaan.

“Isu ini telah dibincangkan secara serius dan kerajaan amat prihatin dengan nasib keluarga dan rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara.

“Penubuhan Jawatankuasa Khas ini membuktikan komitmen kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia dibawa pulang dengan selamat.,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan akan memastikan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di beberapa negara dibawa pulang dengan selamat dan usaha sedang dilaksanakan melalui saluran yang ada bagi tujuan itu.

Ismail Sabri menegaskan kerajaan amat prihatin dan mengambil serius mengenai nasib rakyat Malaysia yang terkandas di Laos, Myanmar, Thailand dan Kemboja kerana menjadi mangsa sindiket penipuan kerja itu.

Isnin lepas, sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghantar memorandum kepada Perdana Menteri bagi memohon bantuan serta campur tangan kerajaan dalam menyelesaikan isu sindiket penipuan kerja di luar negara melibatkan warganegara Malaysia.

Setakat Isnin lepas, Wisma Putra memaklumkan mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja yang berjaya diselamatkan adalah seramai 143 orang, daripada 158 kes yang dilaporkan, selain 16 rakyat Malaysia diselamatkan di Thailand, 27 di Laos dan lima di Myanmar.

Abdul Latiff menasihatkan rakyat Malaysia supaya menghubungi Kementerian Luar jika mendapat tawaran kerja di luar negara bagi memastikan kesahihan dan tidak terjebak dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button