Suburkan semangat persaudaraan, hidupkan kembali MN
Pendirian PAS kekal jalin hubungan dengan UMNO perlu disambut

BANGI, 25 Safar 1444H, Rabu – Pendirian PAS untuk kekal menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai rakan ta’awun perlu disambut oleh semua peringkat kepimpinan parti.
Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kenyataan semalam itu adalah hasil pertemuan terkini pimpinan tertinggi.
“UMNO dan BN bukan musuh PAS. Ia rakan kerjasama.
“Pendirian ini perlu disambut oleh semua peringkat kepimpinan PAS dengan mengelakkan serang-menyerang dan sindir menyindir yang tidak membantu kepada kerjasama.
“Suburkan semangat persaudaraan demi Islam dan umat. Hidupkan kembali Muafakat Nasional,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Terdahulu, PAS menjelaskan musuh parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah Pakatan Harapan (PH), bukannya UMNO.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS akan kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai rakan Ta’awun sekali gus tidak bersetuju sama sekali dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh dalam PRU15 nanti.
Katanya, PAS yakin gabungan atas konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional sahaja mampu menjadi formula terbaik dan berkesan serta diterima majoriti pengundi.
Ini bagi mewujudkan sebuah kerajaan prihatin rakyat dengan langkah penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada seluruh rakyat di samping memberikan perhatian khusus kepada aspek semak dan imbang.