Berita UtamaDunia

Taliban rombak beberapa jawatan penting negara

Turut tersenarai pemangku Menteri Pendidikan Afghanistan

KANDAHAR, 25 Safar 1444H, Rabu – Pemimpin Tertinggi Taliban mengarahkan rombakan beberapa jawatan penting dalam pentadbiran negara termasuk menggantikan pemangku Menteri Pendidikan.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid yang mengeluarkan senarai pertukaran menteri berkata, rombakan dibuat atas arahan Haibatullah Akhundzada.

Pemangku Menteri Pendidikan Noorullah Munir akan diganti oleh Ketua Majlis Wilayah Kandahar, Maulvi Habibullah Agha.

Bagaimanapun tiada alasan dinyatakan mengenai rombakan yang dilakukan.

Sistem pendidikan Afghanistan menjadi tumpuan masyarakat dunia sejak Taliban mengambil alih pentadbiran negara sejak setahun lalu.

Kementerian Pendidikan pada peringkat awalnya berkata, semua sekolah akan dibuka pada Mac lalu namun sesi persekolahan kepada pelajar perempuan kebanyakan masih ditangguh sehingga kini.

Keputusan yang dibuat Taliban telah mengejutkan beberapa pihak sekali gus memberi tekanan kepada pelajar-pelajar perempuan di peringkat menengah.

Taliban kini memberi jaminan untuk membuka semula sesi persekolahan kepada pelajar-pelajar perempuan di negara tersebut namun tidak menyatakan jangka masa tertentu.

Minggu lalu beberapa menteri dilaporkan berkumpul di Kandahar untuk mesyuarat Kabinet yang diketuai pemimpin tertinggi pergerakan berkenaan.

Bagaimanapun Kementerian Penerangan tidak memberikan penjelasan khusus mengenai perbincangan yang dilakukan baru-baru ini. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button