Waspada, jual minyak masak atas talian boleh dikenakan tindakan
Orang ramai diminta jadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa

BANGI, 25 Safar 1444H, Rabu – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan tiga tindakan ke atas individu dan pihak yang menjual minyak masak secara atas talian.
Ketua Pengarah Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, pihaknya sentiasa memantau aktiviti penjualan minyak masak dalam talian melalui kerjasama penyedia tapak pasar secara dalam talian seperti Shopee, Lazada, Mudah.my dan Grabmart.
“Hasil kerjasama, sebanyak 121 iklan di kesan berkaitan penjualan barang kawalan berjadual minyak masak dinyahturun pada tahun ini hingga 19 September lalu.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, membabitkan nilai rampasan berjumlah RM1,564.90,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut Azman berkata, KPDNHEP telah menjalankan 55 pemeriksaan di seluruh negara dan menerima sembilan aduan membabitkan pelbagai kesalahan.
Katanya, antara kesalahan yang dikesan adalah berurusniaga secara borong dan runcit barang kawalan berjadual itu tanpa lesen yang sah, selain menyimpan minyak masak di tempat yang tidak dilesenkan.
Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam penyelewengan barang kawalan seumpama ini.
“Jika sabit kesalahan, denda tidak lebih RM1 juta boleh dikenakan terhadap orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat boleh didenda tidak melebihi RM3 juta.
“Syarikat yang melakukan kesalahan juga boleh disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).
“Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi,” katanya.
Sehubungan, beliau meminta orang ramai untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama jika mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan minyak masak.