Berita Utama

1,136 jururawat kontrak akan dilantik ke jawatan tetap

Langkah menghargai sumbangan, komitmen tinggi jururawat

JOHOR BAHRU, 26 Safar 1444H, Khamis – Seramai 1,136 Jururawat Gred U29 kontrak keluaran Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) akan diperakui ke pelantikan tetap pada suku keempat tahun ini dan suku pertama tahun depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, seramai 2,804 jururawat swasta yang dilantik secara kontrak dan masih berkhidmat di KKM bagi menyokong perkhidmatan kesihatan khususnya dalam tempoh pandemik COVID-19 turut akan diserap untuk lantikan tetap secara berfasa.

Beliau berkata, pelantikan tetap ini juga melibatkan jururawat masyarakat gred U19 sebagai jururawat gred U29.

Katanya, langkah itu bagi menghargai sumbangan dan komitmen tinggi diberikan oleh jururawat kontrak yang masih berkhidmat di KKM.

“Seramai 1,406 Jururawat Masyarakat Gred U19 yang telah lulus kursus Diploma Kejururawatan Peningkatan Secara Lantikan (PSL), namun masih belum ditawarkan pelantikan tetap untuk PSL ke jawatan Jururawat Gred U29.

“KKM akan memfleksikan jawatan Jururawat Masyarakat Gred U19 kepada jawatan Jururawat Masyarakat Gred U19/Jururawat Gred U29,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Khairy berkata, pindaan ini dibuat bagi membolehkan Jururawat Masyarakat Gred U19 yang lulus kursus Diploma Kejururawatan PSL boleh ditawarkan pelantikan tetap dan kekal mengisi jawatan sedia ada sebagai Jururawat Gred U29.

Katanya, KKM bercadang untuk menggunakan 2,775 jawatan Jururawat Masyarakat Gred U19 yang kosong untuk diisi oleh graduan jururawat dari Institut Latihan KKM mahupun swasta.

Dalam pada itu, Khairy berkata, kementerian turut menawarkan kenaikan pangkat ke Gred U42 kepada 110 jururawat yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan yang diiktiraf oleh kerajaan.

“Tawaran kenaikan pangkat itu dibuat pada 17 Oktober ini melibatkan 50 Jururawat Gred U32 dan 60 Jururawat Gred U36.

“Sebanyak 49 jawatan Jururawat Gred U41/42/U44 lagi akan diisi menerusi pengambilan tetap oleh SPA yang akan dilaksanakan pada suku pertama tahun depan.

“KKM mengunjurkan sebanyak 226 jawatan Jururawat Gred U41/42/U44 diwujudkan bermula tahun depan hingga 2025 iaitu sebanyak 63 jawatan pada 2023, 125 jawatan pada 2024 dan 38 jawatan lagi pada 2025,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button