Berita Utama

Angkat Ratu Elizabeth II, tiada rasa sensitif sejarah penjajahan British

Perlu ada pihak tampil mohon maaf 'dosa' ditanggung pemerintah, rakyat British

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 26 Safar 1444H, Khamis – Bukan satu kesalahan untuk mana-mana pihak melahirkan rasa simpati atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Namun mengangkat peranan mendiang ketika negara baharu sahaja menyambut Hari Kebangsaan malahan mengibarkan bendera separuh tiang sebagai menghormati kemangkatan baginda disifatkan sebagai tidak wajar.

Pensyarah Kanan Sejarah Politik Malaysia Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Azmi Arifin menyifatkan, tindakan sedemikian tidak manis kerana seolah-seolah kemerdekaan tak memberi makna kepada rakyat walaupun negara perlu menunjukkan rasa simpati atas dasar hubungan diplomatik.

“Tetapi sampai peringkat memuji-muji sedangkan kalau kita lihat di negara luar mereka mengangkat tentang isu kejahatan British termasuk peranan yang dimainkan Ratu Elizabeth II ini. Ketika (mendiang) hidup pun masih ada proses penjajahan itu.

“Saya ingat (mendiang) sebagai simbol kepada kekuasaan British dan penjajah, harus sekurangnya-kurangnya minta maaf kepada negara bekas jajahan yang dijajah dan banyak mangsa yang telah ditindas dan dibunuh sebagainya.

“Itu dosa-dosa yang ditanggung oleh pemerintah-pemerintah British dan setiap rakyat British pun menanggung dosa tersebut dan kena ada pihak minta maaf,” katanya dalam temu bual Dimensi di TV Pertiwi, hari ini.

Bagaimanapun, beliau meluahkan rasa kesal kerana tidak nampak dengan jelas British melalui simbol kuasa itu memohon maaf secara rasmi terhadap tindakan yang telah dilakukan.

“Jepun misalnya datang ke sini melakukan kekerasan dan sebagainya, satu dunia suruh Jepun minta maaf atas apa yang dilakukan. Tapi ada tak dunia menuntut supaya British ini yang menguasai hampir separuh dunia dan sebahagian besar telah dirampas sampai ke hari ini meminta maaf terhadap apa yang dilakukan?

“Bahkan sampai peringkat mengangkat Ratu Elizabeth II seorang yang baik, memastikan kemerdekaan diberi kepada negara tertentu… sampai peringkat kita menurunkan bendera untuk menghormati, saya ingat itu tidak patut lebih-lebih lagi ketika kita sambut kemerdekaan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Azmi mengakui terkejut dengan konteks masyarakat di media sosial yang tidak begitu menghargai perjuangan yang ada.

“Mereka tidak faham pun sebenarnya dan saya ingat harga diri itu terlalu mudah untuk dikompromikan jadi mungkin mereka melihat barat sebagai satu yang unggul. Perasan itu wujud, justeru mereka tidak ada rasa sensitif tentang sejarah penjajahan British yang sangat teruk,” katanya.

Pautan Dimensi;
https://www.facebook.com/watch/live/?ref=notif&v=788638052473507&notif_id=1663815626036709&notif_t=live_video

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button