Berita Utama

Khairy yakin RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok dapat sokongan majoriti ahli Parlimen

Masih dalam semakan dan penelitian Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen

PUTRAJAYA, 26 Safar 1444H, Khamis –  Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yakin Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan selepas dimuktamadkan beberapa pindaan, akan menerima sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen.

Beliau berkata rang undang-undang itu masih dalam semakan dan penelitian Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen dan setakat ini, perbincangan berjalan lancar yang mana ahli-ahli jawatankuasa sedang meneliti pindaan-pindaan yang dicadangkan. 

“Secara dasarnya majoriti daripada Ahli Parlimen bersetuju dengan rang undang-undang itu. Malah, dalam surat yang ditulis oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Perdana Menteri, juga sebut bahawa secara keseluruhannya Ahli Parlimen pembangkang daripada Pakatan Harapan menyokong rang undang-undang ini.

Cuma mereka minta dibuat beberapa pindaan supaya diperjelaskan kuasa penguat kuasa, diperjelaskan soal denda dan sebagainya. Saya percaya kebanyakan daripada isu ini sudah diselesaikan dalam JPK,” katanya  kepada pemberita semasa temu bual Setahun Pencapaian Sebagai Menteri Kesihatan. 

Pada 2 Ogos lepas, Dewan Rakyat bersetuju Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dirujuk ke JPK Parlimen untuk diteliti serta membuat syor penambahbaikan, ketika usul itu pada peringkat bacaan kedua.

 Rang undang-undang itu yang antara lain bakal melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik atau “vape” kepada individu yang dilahirkan pada 1 Januari 2007 dan seterusnya, disifatkan mengehadkan kebebasan memilih oleh beberapa Ahli Parlimen selepas ia dibentangkan pada Julai lepas.

 Ia juga menggariskan peruntukan bagi pendaftaran produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau, selain mengawal pengiklanan, promosi dan penajaan, penjualan serta pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok.

Khairy berkata JPK sudah tiga kali bermesyuarat dan beliau akan membawa RUU yang sudah diperkemaskan itu kepada mesyuarat JPK minggu hadapan untuk dipersetujui.

Dalam pada itu, Khairy berkata rang undang-undang itu digubal bagi membolehkan kawalan terhadap semua jenis produk merokok termasuk rokok elektronik dan beliau melihat ia sangat penting untuk diluluskan memandangkan masalah penggunaan rokok elektronik telah menjadi semakin berleluasa dalam kalangan kanak-kanak.

Ditanya bagaimana Kementerian Kesihatan (KKM) menangani kepentingan antara rakyat dan pihak industri mengenai kepentingan rang undang-undang itu, Khairy berkata KKM telah memberi penjelasan kepada badan profesional serta badan bukan kerajaan melalui beberapa siri libat urus tentang mengapa rokok elektronik perlu dikawal penjualannya sebagai produk tembakau dan tidak dibuat larangan penuh sebagaimana dilaksanakan di Thailand, Brunei dan Singapura.

 “Larangan penjualan ini telah dimaklumkan kepada pihak industri dan pihak berkepentingan taruh yang terlibat menerusi beberapa siri libat urus yang telah dijalankan. Apa yang jelas, perniagaan mereka tidak terjejas kerana mereka masih boleh menjalankan urus niaga dengan kawalan di bawah rang undang-undang ini kepada golongan selain daripada yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya,” katanya.

Di JOHOR BAHRU, Khairy berkata pindaan yang dibuat itu adalah sangat munasabah dan dapat memperkuatkan lagi penerimaan Ahli-ahli Parlimen tentang rang undang-undang berkenaan.

“Akta itu dimurnikan, ada sedikit sebanyak pindaan yang telah dibuat supaya diperjelaskan kuasa penguat kuasa dan diperjelaskan tentang hukuman, denda dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kejururawatan Bersama Malaysia-Singapura Ke-25  hari ini.

JPK itu dianggotai 12 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang bagi memperincikan beberapa pindaan.

Ia dianggotai Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit); Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang); Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas). 

Ia turut dianggotai Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni; Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching); R Sivarasa (Sungai Buloh); Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor); Datuk Seri Madius Tangau (Tuaran); Datuk Ignatius Darell Leiking (Penampang) dan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir (Jerlun). – bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button