Berita Utama

Ambil serius projek mitigasi banjir sebelum fikir PRU: Pemuda GTA

Semua status terkini projek dijalankan wajar diketahui umum

BANGI, 26 Safar 1444H, Khamis – Gerakan Tanah Air (GTA) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil serius perkembangan terkini projek mitigasi banjir sebelum memikirkan mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini memandangkan negara bakal berdepan musim tengkujuh pada penghujung tahun ini yang berisiko membawa kepada banjir di kebanyakan negeri.

Gesaan itu disuarakan Naib Ketua Pemuda GTA, Fahmi Bazlan yang cakna terhadap nasib mangsa banjir di kawasan tertentu seperti daerah Baling, Kedah kerana terpaksa berdepan bencana alam itu berulang kali.

“Gesaan mangsa banjir Baling untuk kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hanyalah sia-sia apabila Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan membidas bahawa tiada keperluan untuk menubuhkan agensi tersebut.

“Susulan itu, laporan penuh banjir Baling yang dibentangkan pada Ogos lalu juga hanya mengisahkan tentang perspektif geologi semata-mata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesan daripada tindakan itu, daerah Baling dilanda banjir sekali lagi beberapa hari lalu.

“Semalam penduduk ibu kota juga telah bersedia menyaman pihak DBKL berkaitan projek mitigasi banjir yang perlu dijawab oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim dalam tempoh lima hari.

“Semua status terkini projek mitigasi banjir yang sedang dijalankan wajar untuk diketahui umum. Siapa yang sanggup menanggung rugi berkali-kali?,” soalnya.

Media sebelum ini melaporkan lapan penduduk Kuala Lumpur diketuai bekas Pengerusi Badan Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan telah mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membekalkan informasi tentang pelan mitigasi banjir untuk musim monsun akan datang, atau mereka bakal berdepan tuntutan mahkamah.

Dalam satu surat tuntutan bertarikh 19 September, Ambiga dan tujuh orang penduduk lain menamakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah sebagai responden tuntutan tersebut.

Surat tersebut yang dihantar firma guaman Messrs Lim Wei Jie menuntut informasi berkaitan dengan pelan mitigasi banjir untuk dikemukakan dalam tempoh lima hari.

Lapan penduduk Kuala Lumpur itu berkata, bahawa informasi tersebut adalah penting untuk mereka dan orang awam menentukan sekiranya DBKL mempunyai pelan memadai untuk memitigasi banjir yang dijangka bakal berlaku pada musim monsun akan datang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button