Berita UtamaDunia

AS, Arab Saudi, Perancis gesa pemilihan Presiden Lubnan disegerakan

Presiden perlu satukan rakyat, kerjasama dengan negara lain selesai krisis

BEIRUT, 26 Safar 1444H, Khamis – Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Arab Saudi menyeru pemerintah Lubnan untuk memilih presiden baharu tanpa sebarang kelewatan atau melengah-lengahkannya selepas penggal Michel Aoun berakhir bulan depan.

Dalam satu kenyataan bersama dari tiga negara yang mempunyai pengaruh penting di Lubnan, mereka menyuarakan sokongan terhadap kedaulatan, keselamatan dan kestabilan Lubnan.

Penganalisis dan pemerhati percaya Lubnan akan sekali lagi memasuki tempoh kekosongan jawatan presiden, sama seperti kes sebelum pemilihan Aoun pada 2016.

“Adalah penting untuk memilih presiden yang boleh menyatukan rakyat Lubnan dan bekerjasama dengan pemimpin serantau dan antarabangsa untuk mengatasi krisis semasa.

“Kami menyeru pembentukan kerajaan yang mampu melaksanakan reformasi struktur dan ekonomi yang diperlukan segera untuk menangani krisis politik dan ekonomi Lubnan, khususnya pembaharuan yang diperlukan untuk mencapai persetujuan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa,” kata mereka.

Pada Rabu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengecam elit politik Lubnan kerana gagal melaksanakan pembaharuan yang diperlukan untuk membuka kunci dana antarabangsa bagi membantu negara itu keluar daripada krisis ekonomi dan kewangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Washington, Paris dan Riyadh memberitahu, mereka bersedia bekerjasama dengan Lubnan untuk menyokong pelaksanaan reformasi ini dan mengakui ‘peranan kritikal’ Angkatan Tentera Lubnan serta Pasukan Keselamatan Dalam Negeri.

Kedua-dua agensi keselamatan itu adalah ‘pembela sah kedaulatan dan kestabilan dalaman Lubnan’ kata ketiga-tiga negara berkenaan dalam sindiran jelas terhadap Hizbullah.  

“Kami mengesahkan keperluan untuk kerajaan Lubnan… kepada Perjanjian Taif yang membolehkan pemuliharaan perpaduan negara dan keamanan sivil di Lubnan,” kata mereka. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button