Berita Utama

Dialog PEMBELA: Wadah rakyat mengetahui situasi sebenar negara

Peluang tak harus dilepaskan namun peserta perlu jaga adab

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 26 Safar 1444H, Khamis – Penganjuran dialog melibatkan parti politik Melayu Islam dilihat sebagai wadah kepada rakyat mengetahui perkara sebenar yang berlaku di negara ini.

Maklumat yang diterima juga secara terus dari mulut pemimpin itu sendiri dalam membincangkan hala tuju dan masa depan negara.

Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Mohd Noor Azib Asmangi berkata, wacana itu menjadi bukti kesungguhan pemimpin bertemu rakyat dalam usaha memperbetulkan keadaan.

“Inilah bukti amalan demokrasi yang sihat yang berlaku di negara ini dan wajar dijadikan amalan berterusan dalam negara kita.

“Program ini bukan sahaja memberi kebenaran mengenai perkembangan semasa negara tetapi juga peluang kepada rakyat untuk bertanya perkara sebenar kepada pemimpin mereka,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Program Siri 1: Dialog Parti Politik Melayu-Islam anjuran Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) akan berlangsung pada 25 September ini.

Program di Hotel Adamson, Kuala Lumpur itu menampilkan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai panel khas.

Ustaz Mohd Noor Azib berkata, program ini sudah lama ditunggu rakyat dan tidak seharusnya dilepaskan.

Katanya, memandangkan ini adalah peluang sebenar untuk rakyat menyuarakan isi hati mereka.

“Pengisian dari hati ke hati ini dan dilakukan secara terbuka ini tidak harus dilepaskan dan diyakini mampu memberi manfaat kepada rakyat dan negara dalam konteks negara ini,” katanya.

Beliau pada masa sama mengajak peserta untuk tidak melepaskan peluang bertanyakan soalan kepada panel khas.

Bagaimanapun, tegasnya, peserta diingatkan menjaga adab dan tidak keterlaluan ketika dialog berlangsung.

PEMBELA memaklumkan, menerusi sesi ini, peserta berpeluang bertanyakan soalan secara terus kepada panel dan menyatakan hasrat mereka kepada parti-parti Melayu Islam yang bakal bertanding.

Objektifnya adalah memberi ruang kepada pimpinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melihat apakah perancangan pemimpin parti Melayu Islam dalam memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air ini.

Siri dialog ini sepatutnya berlangsung 11 September lalu namun terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan kesihatan Dr Mahathir yang tidak mengizinkan.

Penganjuran siri dua dialog ini dijangka akan berlangsung pada 28 September dengan menampilkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button