Berita Utama

GTA saran Ketua Pemuda UMNO tak sibuk tentu tarikh PRU15

Jangan nampak sangat rakus nak berkuasa sampai hilang ihsan

BANGI, 27 Safar 1444H, Khamis – Gerakan Tanah Air (GTA) menyarankan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki memberi fokus membangunkan negara daripada sibuk menentukan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Pemuda GTA, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, sikap kemaruk dan gilakan PRU15 disegerakan bukan hanya dilihat pada pemimpin utama UMNO semata-mata, bahkan juga Ketua Pemudanya.

Beliau berkata, tidak sepatutnya sikap rakus mahu berkuasa itu ditonjol jelas sehingga hilang ihsan dan hati perut terhadap rakyat yang mula gelisah dengan banjir besar berkemungkinan melanda serta kesengsaraan bakal dihadapi mereka.

“Banjir besar yang diramal sebelum ini di Hulu Langat, di Baling pun boleh jadi luar jangka dan luar kawalan menyebabkan ramai yang tidak bersedia dan terperangkap, apatah lagi bila masa ianya akan berlaku secara tepat pun tak dapat diduga sepenuhnya.

“Melainkan Dr Asyraf dah jadi pawang hujan yang boleh ramal banjir besar hanya akan berlaku selepas pilihan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nasrul turut meminta Asyraf memikirkan golongan peniaga kecil, orang kurang berkemampuan bekerja makan gaji yang sekarang ini dilema jika berlaku banjir besar akan memutuskan pendapatan serta menghalang mereka mencari nafkah.

“Fikirkan juga keluarga yang mempunyai ahli keluarga yang kurang upaya atau golongan tua yang uzur bagaimana nak menghadapi dan selamat jika banjir besar benar-benar berlaku.

“Kuasa dah ada di tangan, Perdana Menteri juga dari UMNO, aturlah gerakan membangunkan negara sebaiknya selagi tempoh berkuasa masih ada, bukan sibuk pertimbang supaya PRU15 diadakan segera sahaja,” katanya.

Beliau berkata, Asyraf yang sewajibnya sangat dekat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seeloknya segera mencadangkan resolusi membangunkan ekonomi dan menyelesaikan masalah pendapatan rakyat.

Katanya, dahulu ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, UMNO sibuk mendesaknya meletak jawatan dan digantikan dengan pemimpin daripada parti itu.

“Bila dah ganti dengan pemimpin UMNO sibuk nak PRU diadakan cepat pula. Jadilah lebah yang sentiasa lihat perkara cantik dan indah, jangan jadi lalat yang suka menghurung tahi dan lihat keburukan.

“Apakah Malaysia ini milik UMNO sehingga semua perkara kena ikut kehendak UMNO?

“Sampai bila rakyat perlu dibuli dengan keangkuhan dan kerakusan pemimpin politik UMNO hingga rakyat mula meluat dengan politik yang sepatutnya politik ini adalah platform terbaik untuk bersuara dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya. 

Terdahulu, Asyraf dalam satu kenyataan berpandangan bahawa PRU15 masih boleh diadakan sebelum musim banjir tahun ini sekiranya Dewan Rakyat dibubarkan pada awal Oktober.

“Umpamanya jika dibubar pada awal Oktober 2022, maka PRU15 dapat dan sempat dibuat pada awal November 2022, iaitu dua hingga tiga minggu sebelum ramalan hujan lebat.

“Adakah SPR mampu buat PRU dalam masa empat minggu selepas bubar? Kalau ikut rekod PRU14 dulu, SPR mampu dan boleh buat PRU dalam sama satu bulan selepas bubar,” katanya.

Pautan berkaitan;

PRU boleh buat sebelum musim banjir: Pemuda UMNO

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button