Dunia

Penjajah Israel berterusan tembak mati penduduk Palestin

Serangan sehari ragut empat nyawa di Tebing Barat

JENIN, 9 Rabiulakhir 1444H, Jumaat – Dua lelaki Palestin terbunuh manakala empat yang lain, termasuk seorang kanak-kanak cedera dalam serangan tentera pengganas Israel ke atas kem pelarian Jenin di utara Tebing Barat semalam.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, mangsa terbunuh dikenal pasti sebagai Farouq Jamil Salameh, 28, yang parah ditembak di perut, dada serta kepala dan disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital Jenin.

Sementara, mangsa kedua pula dikenali sebagai Mohammad Samer Khlouf, 14, dari bandar Burqin yang disahkan meninggal dunia akibat kecederaan ditembak tentera ketika serangan itu.

Kementerian memaklumkan bahawa pasukan tentera Israel menyerbu kem itu pada petang Khamis dan mengepung sebuah rumah di mana Farouq berada.

Insiden berbalas tembakan berlaku sebelum Farouq dan Mohammad terbunuh dan empat yang lain cedera ringan termasuk seorang kanak-kanak berusia 8 tahun.

Awal Khamis, dua rakyat Palestin ditembak mati oleh tentera pendudukan Israel, membabitkan mangsa berusia 20 tahun di Baitulmaqdis Timur dan seorang lagi lelaki berusia 42 tahun ketika konfrontasi di bandar Biddo, Ramallah.

Serangan sepanjang sehari itu sekali gus merekodkan empat kematian rakyat Palestin setakat Khamis, di mana seramai 141 rakyat Palestin telah ditembak mati oleh tentera Israel di Tebing Barat sejak awal tahun ini.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button