Berita Utama

Laporan perubatan Najib tak boleh didedah umum melainkan arahan mahkamah

KKM punya tanggungjawab patuh etika kerahsiaan pesakit

BANGI, 26 Safar 1444H, Khamis – Laporan perubatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh didedahkan kepada umum namun boleh dikemukakan pada mahkamah sekiranya diarahkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penyiasatan klinikal, perawatan dan pemantauan ke atas Najib telah dijalankan.

“Namun begitu, KKM mempunyai tanggungjawab mematuhi etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

“Sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan seseorang pesakit hanya boleh dikemukakan kepada mahkamah (sekiranya diarahkan mahkamah),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan Najib telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan oleh pakar perubatan susulan perintah Mahkamah Tinggi pada 12 September lalu susukan keadaan kesihatan Ahli Parlimen Pekan itu tidak memuaskan.

Jelas beliau, perkara tersebut adalah selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara.

Semalam, Jabatan Penjara mengesahkan, Najib mendapatkan rawatan dan pemantauan lanjutan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) sejak 19 September lalu selepas dirujuk pihak HKL.

Selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara serta United Nations Standard Minimum Rules for the Treatment of Prisoners (Mandela Rules), Najib dihantar ke HKL untuk rawatan oleh pakar perubatan selepas perintah Mahkamah Tinggi pada 12 September lalu susulan keadaan kesihatannya tidak memuaskan.

Najib bagaimanapun akan dihantar semula ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara sebaik sahaja pihak pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button