Berita Utama

Pemikiran Dr Burhanuddin al-Helmy demi orang Melayu

‘Makna Melayu yang dipegang UMNO sangat kecil, ini jenayah politik besar dalam sejarah bangsa’

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 26 Safar 1444H, Khamis – Nasionalis dan pemikir awal Islam, Dr Burhanuddin al-Helmy merupakan satu nama yang tidak asing dalam sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu.

Meskipun sumbangannya tidak diangkat secara rasmi dalam rekod sejarah kemerdekaan negara, namun usahanya memajukan orang Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan cukup signifikan.

Sama sekali enggan orang Melayu terus dicengkam penjajah, justeru beliau secara konsisten lantang menentang British dan sekutunya demi pembebasan watan. 

Mengupas pemikiran tokoh ini, Ketua Pegawai Eksekutif Iris Institute, Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berkata, terdapat tiga agenda utama yang diperjuangkannya  untuk dibahaskan.

Beliau berkata, antara usaha utama Dr Burhanuddin di zamannya adalah memperbaharui tajdid falsafah peradaban dan bangsa Melayu.

“Beliau (Dr Burhanuddin) menekankan bahawa Melayu bukan satu kaum yang ingin survive macam kaum Cina dan India. Itu hakikat yang paling teruk dan ini yang diangkat oleh UMNO. Sebab itu slogan UMNO ‘Hidup Melayu’. Sampai 1955 barulah bertukar menjadi ‘Merdeka’. Bila ada pengaruh orang lain barulah UMNO nak guna slogan Merdeka.

“Jadi, makna Melayu yang UMNO pegang sememangnya makna yang paling kecillah. Pada mereka kita hanya satu unit sosial, satu kaum dalam sebuah negara bangsa yang ditentukan oleh British. 

“Ini yang menurut Dr Burhanuddin satu jenayah politik besar kepada peradaban Melayu. Kerana ia telah mengubah makna Melayu daripada sebuah peradaban, sebuah bangsa yang sama tinggi dengan peradaban lain kepada etnik kecil yang hanya mahu ‘survive’,” kata Syed Ahmad Israa.

Beliau berkata demikian dalam program ‘Bedah Pemikiran dan Himpunan Penulisan’ yang disiarkan di Facebook Pusat Kajian Pemikiran dan Peradaban Ummah (PEMIKIR), semalam.

Seterusnya, Syed Ahmad Israa berkata, agenda kedua dalam pemikiran Dr Burhanuddin yang pernah digelar ‘Bapa Kebangsaan Melayu’ oleh penulis Ahmad Boestamam ini adalah memperbaharui tajdid manifestasi Islam dalam peradaban negara (khususnya Melayu). 

“Banyak penulisannya, banyak beliau syarahkan kenapa pentingnya membincangkan Islam dalam peradaban Melayu. Kenapa Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan ketika berbicara mengenai peradaban. 

“Beliau cuba bawa banyak perubahan dan orang Melayu yang sebelum ini bagaikan mencari sesuatu yang hilang, bila jumpa Islam seolah menemui sesuatu yang selama ini mereka cari,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Burhanuddin menyatakan bahawa kedua-dua agenda ini pula mustahil dibincangkan kecuali dengan menghilangkan segala ‘belenggu’.

Apabila bercakap soal itu, beliau membicarakan mengenai kepentingan ‘merdeka’ dan kekuatan kendiri untuk pembangunan bangsa.

“Beliau menginsafi realiti yang ada, bahawa kita dibelenggu daripada pelbagai aspek. Bila bincang mengenai merdeka bukan hanya tentang British keluar. Tapi merdeka pemikiran, merdeka ekonomi dan lain-lain lagi. Nak reverse balik kesan penjajahan. 

“Beliau menekankan kekuatan kendiri untuk pembangunan bangsa. Kuasa nasional kita bangunkan kekuatan kita, bukan kita meminjam atau bersandar kepada kekuatan kuasa lain. Ini ramai orang yang Melayu tak faham. 

“Hatta orang kiri pun masa tu. Orang kiri akan pinjam kekuatan Komunis, Russia, Jepun. Hatta Indonesia sekali pun, Soekarno dia bersandar pada kekuatan Komunis. UMNO pula bersandar pada British. 

“Sedangkan kekuatan nasional datang dari kita sendiri. Walaupun pada awal tu kita akan susah dan sakit. Kalau kita hentikan semua ni memanglah kita akan terganggu. Tapi kena bina semula. Di atas kerobohan Melaka, kita bangunkan jiwa kita,” katanya.

Pautan video:

https://www.facebook.com/pusatpemikirummah/videos/1302421130296616/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button