Berita Utama

PRU boleh buat sebelum musim banjir: Pemuda UMNO

Masih sempat PRU15 jika Dewan Rakyat bubar awal Oktober

BANGI, 26 Safar 1444H, Khamis – UMNO dilihat bersungguh-sungguh mempertahankan pendirian mereka untuk memastikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera tahun ini.

Ini apabila Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan, bahawa PRU masih boleh diadakan sebelum banjir besar penghujung November sekiranya ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia dijadikan sandaran.

Beliau berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan bahawa banjir besar bakal berlaku pada penghujung November ini.

“Maka ramailah yang mendesak terutamanya pembangkang supaya PRU15 ditangguhkan kerana membahayakan nyawa rakyat (Parti MUDA siap nak buat demo hari Sabtu ini untuk bantah PRU waktu banjir).

“Saya juga bersetuju bahawa PRU wajar ditangguhkan jika banjir benar-benar berlaku. Persoalannya, bolehkah PRU diadakan sebelum musim banjir?,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Asyraf berkata, ramalan meteorologi – yang menjadi nas utama masa kini – boleh menjadi landasan paling kuat supaya Dewan Rakyat dibubarkan awal Oktober, terutamanya pada 7 Oktober hingga 10 Oktober ini.

“Umpamanya jika dibubar pada awal Oktober 2022, maka PRU15 dapat dan sempat dibuat pada awal November 2022, iaitu dua hingga tiga minggu sebelum ramalan hujan lebat.

“Adakah SPR mampu buat PRU dalam masa empat minggu selepas bubar? Kalau ikut rekod PRU14 dulu, SPR mampu dan boleh buat PRU dalam sama satu bulan selepas bubar,” katanya.

Justeru, berdasarkan rekod kerja Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan mengambil kira ramalan meteorologi, beliau berkata, ia membuktikan negara masih sempat serta dapat mengadakan PRU sebelum musim banjir tahun ini jika Dewan Rakyat dibubar awal Oktober.

Sebelum ini, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Barisan Nasional (BN) sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika PRU15 diadakan tahun ini mendapat kecaman daripada pelbagai pihak.

Namun, Ahmad Zahid tampil menjelaskan bahawa kenyataannya itu telah dimanipulasi dan dipropagandakan konon BN tidak mempedulikan keselamatan rakyat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button