Berita Utama

RM242 juta diperuntuk bantu tangani isu muara Sungai Dungun

Projek pemuliharaan dijangka siap Mac 2027

BANGI, 26 Safar 1444H, Khamis – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melancarkan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun bagi membantu menangani masalah nelayan di daerah berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek yang menelan belanja sebanyak RM242.97 juta itu akan bermula 26 September ini dan dijangka siap pada 25 Mac 2027.

Beliau berkata, isu berkaitan muara Sungai Dungun telah lama berlarutan dan menerima banyak aduan mengenai masalah berkenaan.

“KASA mendengar masalah utama nelayan, penduduk dan pengusaha bot di sekitar Dungun.

“Masalah muara cetek disebabkan mendapan menyukarkan pelayaran keluar masuk dari muara ke laut.

“Kadang kala bot rosak, malah lebih berat lagi hingga berlaku kemalangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, masalah muara cetek juga akan mengurangkan upaya sungai mengalirkan air ke laut dan boleh menyebabkan banjir.

“Oleh sebab itu, masalah ini perlu ditangani segera agar 500 bot boleh belayar dengan selamat dan 5,000 penduduk sekitar akan menikmati hidup dengan lebih baik.

“Maka, hari ini saya lancarkan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun yang menelan belanja sebanyak RM242.97 juta,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button