Berita UtamaDunia

Russia bebaskan 10 warga asing ditahan di Ukraine

Arab Saudi mudahkan prosedur untuk negara masing-masing

RIYADH, 26 Safar 1444H, Khamis – Russia membebaskan 10 tawanan perang asing yang ditahan di Ukraine hasil pengantaraan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan, banduan yang dibebaskan ialah warga Amerika Syarikat (AS), British, Croatia, Maghribi dan Sweden.

Katanya, sebuah pesawat yang membawa tahanan berkenaan mendarat di negara itu.

“Pihak berkuasa Arab Saudi yang berkaitan menerima dan memindahkan mereka dari Russia ke kerajaan dan memudahkan prosedur untuk negara masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun, kementerian itu tidak mengenal pasti tahanan berkenaan.

Bagaimanapun, seorang pegawai Arab Saudi berkata, mereka adalah lima warga Britain, dua warga AS dan masing-masing seorang dari Croatia, Maghribi serta Sweden.

Sebilangan besar warga asing ke Ukraine untuk berperang sejak pencerobohan Russia pada 24 Februari lalu.

Sebahagian daripada mereka telah ditahan oleh tentera Russia, bersama dengan warga asing lain di negara itu yang mengatakan mereka bukan pejuang.

Putera Mohammed mengekalkan hubungan rapat dengan Presiden Russia, Vladimir Putin termasuk dalam rangka kerja kumpulan pengeluar minyak OPEC+, walaupun tekanan dari Washington, sekutu tradisional Riyadh untuk mengasingkan Russia.

Kedua-dua tentera Ukraine dan Russia telah menawan ratusan pejuang musuh sejak permulaan konflik, dengan beberapa pertukaran tahanan telah berlaku.

Awal bulan lalu, ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Ukraine berkata, Russia tidak membenarkan akses kepada tawanan perang, sambil menambah PBB mempunyai bukti bahawa beberapa tawanan mengalami penyeksaan dan layanan buruk yang boleh menyamai jenayah perang. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button