Berita Utama

Tujuh individu dilantik ahli panel badan pemantau bebas SPRM

Tempoh lantikan kuat kuasa 1 Julai 2022 hingga 30 Jun 2024

BANGI, 26 Safar 1444H, Khamis – Tujuh individu telah dilantik secara pentadbiran oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ahli panel badan pemantau bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh dua tahun.

SPRM dalam kenyataan memberitahu, dua daripada mereka dilantik sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) yang merupakan lantikan semula, manakala empat ahli baharu dan seorang lagi dilantik pada 1 April 2022.

Tujuh individu terbabit adalah Mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Borhan Dolah (Pengerusi – lantikan semula); Naib Pengerusi Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; Mantan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Asma Ismail dan Pengarah Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin.

Selain itu, Penasihat Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod; Gabenor Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG), Datin Yasmin Tan Sri Ahmad Merican serta Pengasas dan Pengerusi Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Ali Hassan Mohd Hassan.

“Kesemua individu yang dilantik tersebut terdiri daripada golongan profesional serta pakar dari pelbagai bidang yang diyakini dapat membantu SPRM dalam mencapai matlamat mewujudkan masyarakat yang membenci rasuah di pelbagai sektor.

“Tempoh pelantikan ahli PPPR lantikan semula dan baharu ini berkuat kuasa mulai 1 Julai 2022 sehingga 30 Jun 2024,” katanya SPRM.

Menurut suruhanjaya itu, antara peranannya ialah menasihati SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pemeriksaan dan perundingan terhadap amalan, sistem serta tatacara kerja di sektor awam dan swasta yang membuka ruang dan peluang perlakuan jenayah rasuah.

“Selain itu, PPPR turut berperanan menasihati SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pendidikan masyarakat ke arah meningkatkan kesedaran tentang jenayah rasuah dan sokongan terhadap usaha pencegahan rasuah.

“Dalam pada itu, PPPR juga berperanan menasihati SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pencegahan rasuah melalui mekanisme pengukuhan integriti dalam sektor awam dan sektor swasta,” katanya.

Sementara itu, PPPR juga menasihati SPRM mengenai amalan-amalan baik dalam bidang-bidang yang berkaitan dalam pelaksanaan aktiviti perundingan dan pencegahan rasuah.

Katanya, PPPR juga berperanan membantu SPRM sebagai ‘key communicator’ dalam meraih sokongan masyarakat, pihak media dan sektor-sektor yang dikenal pasti terhadap usaha-usaha pencegahan yang dilaksanakan oleh suruhanjaya.

“Selain itu, PPPR berperanan mengemukakan ulasannya tentang perjalanan oleh SPRM akan fungsi perundingan dan pencegahan rasuah di bawah Akta SPRM 2009 kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).

“Surat cara pelantikan PPPR itu telah disampaikan oleh Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang sambil diiringi oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button