Berita Utama

Briged Sukarelawan IPT #KPTPrihatin siap siaga hadapi bencana

Bantu selaras aktiviti dikendali Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia

MELAKA, 27 Safar 1444H, Jumaat – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berharap penubuhan Briged Sukarelawan IPT #KPTPrihatin akan membantu dalam kesiapsiagaan negara menghadapi bencana terutama banjir pada bila-bila masa.

Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata penubuhan briged itu juga akan membantu menyelaras aktiviti dan program kesukarelawanan yang dikendalikan oleh Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia di semua institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara agar lebih terancang dan teratur.

“Kita melihat bencana banjir yang berlaku pada penghujung tahun 2021 lalu di beberapa buah negeri dan ini membuktikan betapa pentingnya peranan sukarelawan mahasiswa IPT, iaitu lebih 20,000 mahasiswa terlibat sebagai sukarelawan dalam misi bantuan banjir pada masa tersebut.

“Untuk itu sebagai langkah untuk menambah baik pengurusan kesukarelawanan IPT, KPT bersetuju untuk menubuhkan Briged Sukarelawan IPT #KPTPrihatin ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program KPT Prihatin – Tuah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Sejahtera bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali di sini.

Katanya, dengan adanya briged itu diharap tahap kesiapsiagaan semua pihak terhadap sebarang bencana yang tidak diduga berada pada tahap terbaik termasuk dari aspek sumbangan tenaga dan aset.

“Dari segi jumlah penyertaan, kita harap ia akan lebih ramai memandangkan tahun ini sudah ramai siswa yang kembali ke kampus. Jadi mereka boleh membantu komuniti dalam menghadapi monsun Timur Laut yang dijangka pada November ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan setakat hari ini pihaknya telah menerima kira-kira 292,777 permohonan PerantiSiswa Keluarga Malaysia manakala sehingga 19 Sept lepas, seramai 1,610 orang pelajar UTeM layak menerima tablet percuma itu.

Sementara itu Naib Canselor UTeM Prof Dr Massila Kamalrudin dalam ucapannya berkata bantuan yang dilancarkan pada malam ini adalah sejajar dengan slogan universiti itu “Tahun 2022 Tahun Kebajikan Pelajar”.

“UTeM menerusi Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran pelajar khususnya mereka yang tergolong dalam kumpulan B40.

“Antara inisiatif tersebut adalah Inisiatif Food Bank @ UTeM yang telah mendapat kerjasama baik dari beberapa agensi tempatan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) selain pemberian bantuan komputer riba dan peranti,” katanya.

Beliau berkata pemberian kupon makanan TUAH Care Food @ Campus itu bertepatan dengan pengenalan Menu Keluarga Malaysia.

Katanya Menu Keluarga UTeM turut dilaksanakan di samping tajaan kos pengajian dan sara hidup di bawah inisiatif Anak Emas UTeM. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button