Berita Utama

HRC, HKL benarkan Najib dihantar semula ke Penjara Kajang

Pemeriksaan terkini dapati tahap kesihatannya dalam keadaan baik

BANGI, 26 Safar 1444H, Jumaat – Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) mengesahkan tahap kesihatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini berada dalam keadaan yang baik.

HRC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, tahap kesihatan Najib itu adalah daripada hasil pemeriksaan terkini yang dilakukan oleh Pakar Perubatan Rehabilitasi hospital berkenaan.

Katanya, Najib – yang kini menjalani hukuman penjara – telah menjalani beberapa pemeriksaan dan rawatan rehabilitasi sepanjang keberadaannya di HRC.

“Beliau juga telah diberikan tunjuk ajar oleh Jurupulih Perubatan Fisioterapi HRC dan boleh menjalankan latihan teknik senaman secara kendiri.

“Pakar perunding yang berkaitan juga telah mengadakan sidang keluarga (family conference) bersama beliau dan ahli keluarga terdekat, di mana mereka telah dimaklumkan situasi terkini keadaan kesihatan serta pelan pemantauan kesihatan beliau,” katanya.

Menurut hospital itu, pakar perunding perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta HRC telah memberikan pelepasan perubatan dan membenarkan Najib dihantar semula ke Penjara Kajang.

“Bersesuaian dengan matlamat HRC, kami akan terus komited dan telus dalam pemberian perkhidmatan bagi memastikan pesakit yang dirawat di sini dapat mencapai tahap potensi yang optimum dan membolehkan seseorang individu mencapai tahap kefungsian yang maksimum,” katanya.

Rabu lalu, Jabatan Penjara mengesahkan Najib berada di HRC untuk menjalani rawatan lanjutan setelah berada di HKL sebelum ini.

Katanya, Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik sahaja pihak pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button