Berita UtamaDunia

Israel tiada hak dan kuasa ke atas Baitulmaqdis

Palestin guna semua perundangan pastikan Baitulmaqdis dilindungi

BAITULMAQDIS, 27 Safar 1444H, Jumaat – Palestin sekali lagi menegaskan, menghormati status istimewa Baitulmaqdis adalah sebahagian daripada hak rakyat negara ini yang diiktiraf secara universal.

Kementerian Luar dan Ekspatriat Palestin memberitahu, pendirian masyarakat antarabangsa mengenai Baitulmaqdis adalah jelas dan negara haram Israel tidak boleh membuat tuntutan ke atasnya.

“Israel juga tidak mempunyai kuasa dan hak untuk terlibat dalam hubungan diplomatik atau menjemput negara-negara luar antarabangsa membuka pejabat diplomatik di kawasan bandar berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sejak 1947, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Perhimpunan Agung PBB secara muktamad, menetapkan status undang-undang antarabangsa Baitulmaqdis adalah hak milik Palestin dan menjadi kewajipan untuk menegakkan status berkenaan.

Malah, tidak membenarkan memindahkan atau membuka mana-mana pejabat diplomatik dan kedutaan di Baitulmaqdis.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa juga menegaskan, negara haram Israel hanya mempunyai kuasa pendudukan namun tidak bagi kuasa ke atas kawasan tapak suci tersebut.

“Kehadiran Israel sebagai kuasa kependudukan adalah fakta undang-undang yang tidak boleh dipertikaikan ke atas semua negara terutamanya anggota tetap Majlis Keselamatan namun mereka tidak mempunyai kuasa ke atas tapak berkenaan.

“Oleh itu, membuka kedutaan di Baitulmaqdis atau menubuhkan misi atas dasar hubungan diplomatik dengan Israel, di mana-mana bahagian Baitulmaqdis adalah pengiktirafan de facto terhadap tindakan Israel yang berterusan dan menyalahi undang-undang,” tambahnya.

Malah, membuka kedutaan di Baitulmaqdis adalah seperti tindakan bersubahat dengan Israel ke atas bandar itu dan cubaan mencabul kedaulatan ke atas tapak suci.

Justeru, Palestin mengesahkan bahawa pihaknya akan meneruskan semua langkah undang-undang, diplomatik dan politik yang ada bagi memastikan Baitulmaqdis serta statusnya dilindungi. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Back to top button