Dunia

Jepun mansuh sekatan ketat COVID-19 ke atas pelancong asing

Longgar langkah kawalan sempadan mulai 11 Oktober ini

TOKYO, 26 Safar 1444H, Jumaat – Jepun mengumumkan akan menarik balik sekatan ketat COVID-19 ke atas pelancong asing dan membuka semula sempadannya.

Perdana Menteri, Fumio Kishida berkata, wabak itu telah mengganggu aliran bebas pelancong, barangan dan modal yang telah membantu negara berkembang.

“Tetapi mulai 11 Oktober ini, Jepun akan melonggarkan langkah kawalan sempadan agar setanding dengan AS serta meneruskan perjalanan tanpa visa dan perjalanan individu,” katanya.

Jepun bersama China mengambil pendekatan berbeza apabila meneruskan sekatan ketat terhadap pelawat, sedangkan kebanyakan negara dunia beransur-ansur melonggarkannya.

Namun tidak seperti China, Jepun tidak pernah mengenakan perintah berkurung ketat ketika krisis.

Pengembalian program pengecualian visa yang digantung pada Mac 2020 akan memulihkan kemudahan akses yang menyaksikan rekod 31.9 juta pelawat asing ke negara itu pada 2019.

Jepun telah mencatatkan kira-kira 42,600 kematian akibat COVID-19 secara keseluruhan – kadar yang jauh lebih rendah daripada banyak negara lain – dan 90 peratus penduduk berumur 65 tahun ke atas telah lengkap tiga dos vaksinasi.

Setakat ini, tiada undang-undang mewajibkan orang ramai memakai pelitup muka, namun kebanyakan mereka masih mengenakannya di tempat awam. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button