Berita Utama

PRU15: PAS belum buat keputusan berhubung 27 kerusi kritikal

‘Akan bincangkan secara musyawarah di peringkat kepimpinan Pusat’

BANGI, 18 Rabiulawal 1444H, Sabtu – PAS belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) di 27 kerusi kritikal yang disifatkan kubu kuat UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kepimpinan Pusat akan berbincang dan menentukan keputusan muktamad, kata Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Apa jua keputusan tentang 27 kerusi itu sama ada bertanding atau pun tidak atau dengan siapa yang kita akan lawan.

“Kita akan bincangkan secara musyawarah di peringkat kepimpinan Pusat.

“Kita tengok macam mana sama ada kita tentang atau pun tidak kerana setiap kerusi itu tidak sama keadaannya,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kedudukan 27 kerusi adalah tidak sama dan bukannya semua berada dalam keadaan kritikal.

“27 kerusi itu jika kita lihat satu persatu pun tidak sama. Ada yang sangat kritikal dan ada yang tidak kritikal.

“Sekiranya berlaku tiga penjuru pun, suasananya begitu berbeza, Pakatan Harapan (PH) pun tidak sama dengan PH yang ada dulu.

“Lagipun trend pengundi pun pelbagai. Ada yang mahu melihat parti dan ada yang mahu melihat calon. Itulah suasana baharu dalam sistem demokrasi yang ada dalam negara kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button