Berita Utama

Nakkan hak kebebasan? Lihat balik asas Perlembagaan

'Bebas bercakap tapi jangan sampai cetus huru-hara'

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 26 Safar 1444H, Jumaat – Permohonan membatalkan peruntukan undang-undang yang menjenayahkan hantaran dalam talian bersifat jelik dan menyinggung perasaan – dianggap pentingkan diri sendiri dan lupa tanggungjawab masyarakat sekeliling.

Terdahulu, bekas Timbalan Pengerusi Bersih memohon untuk membatalkan Seksyen 233(1)(a) dan 233(3) akta itu kerana didakwa melanggar beberapa hak asasi yang ditetapkan di bawah beberapa peruntukan Perlembagaan.

Perkara 5 Perlembagaan berkaitan kebebasan diri, Perkara 8 berkaitan kesamarataan dan Perkara 10 berkaitan hak kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Mengulas perkara itu, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, aktivis Bersih itu kemungkinan lupa bahawa peruntukan asas dalam Perlembagaan menyatakan Islam adalah agama persekutuan.

“Jadi kebebasan yang didakwa perlu diberikan itu mestilah dilihat pada dasar dan asas Perlembagaan.

“Erti kata kebebasan itu tidak boleh lari dari kebebasan yang dinyatakan dalam agama Islam,” katanya.

Haji Aminuddin berkata, perkara berkenaan adalah asas utama dalam kehidupan, namun sengaja dilupakan pejuang hak kebebasan ini atas dasar cuba menerapkan fahaman liberal dalam pemikiran masyarakat.

“Walaupun bebas bersuara, kita mempunyai tanggungjawab dengan masyarakat sekeliling untuk menjaga kemakmuran.

“Setiap daripada kita bebas bercakap apa sahaja tentang orang lain tetapi lupa dengan tanggungjawab untuk menjaga kemakmuran, hubungan baik dalam masyarakat.

“Individu ini hanya tahu nak bebas bercakap tapi dia lupa apa yang dicakapkan, hingga boleh menyebabkan huru hara, orang lain kecil hati dan sekali gus menyebabkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sebelum ini, aktivis Bersih itu dilapor dibicarakan di mahkamah Sesyen Taiping atas pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) berhubung dakwaan menyiarkan komen menghina di media sosial.

Mengikut kertas pertuduhan, aktivis itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya berkaitan agama Islam di laman Facebooknya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button