Berita Utama

PAS hormati keputusan mahkamah, minta semua terima dengan terbuka

Hakim punyai asas kukuh buat pertimbangan dan bertanggungjawab dunia akhirat dengan keputusan

BANGI, 26 Safar 1444H, Jumaat – PAS menghormati keputusan mahkamah yang membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sambil menyifatkan hakim semestinya memiliki asas yang kukuh dalam membuat pertimbangan berkenaan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, negara ini mempunyai sistem yang menjunjung kedaulatan undang-undang.

“Kita menghormati keputusan mahkamah. Setiap keputusan akan ada yang gembira dan akan ada yang dukacita.

“Namun negara ini ada sistem dan menjadi ikrar bersama untuk menjunjung kedaulatan undang-undang.

“Dalam apa jua keputusan, jangan bila kita setuju kita sokong keputusan mahkamah, bila kita tak setuju kita bantah,” katanya.

Beliau pada masa sama meminta semua pihak menerima keputusan berkenaan dengan terbuka.

“Hakim mempunyai asas dalam membuat sesuatu keputusan dan beliau bertanggungjawab dunia akhirat dengan keputusannya,” katanya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini melepaskan dan membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung sistem Visa Luar Negara (VLN).

Keputusan itu dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap semua pertuduhan akhir di kes pendakwaan itu.

Zahid, 69, didakwa atas 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) dari Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) ketika menjadi Menteri Dalam Negeri, untuk menyambung kontrak firma itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.

Suapan itu juga bagi mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama, oleh Kementerian Dalam Negeri.

Beliau juga didakwa atas tujuh lagi tuduhan memperoleh untuk dirinya SGD1.15 juta; RM3 juta; 15,000 franc Swiss dan USD15,000 dari syarikat sama berkaitan dengan tugas rasminya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button