Berita Utama

Pendeposit bertambah bukti rakyat percayakan TH

Tabung Haji tak boleh dilihat institusi rugikan umat

BANGI, 28 Safar 1444H, Jumaat – Peningkatan jumlah pendeposit bukti kejayaan kerajaan mengembalikan kepercayaan umat Islam kepada Lembaga Tabung Haji (TH), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata, lebih daripada 200,000 akaun simpanan baharu telah dibuka menjadikan jumlah keseluruhan pendeposit TH kini mencapai 8.6 juta orang.

Katanya, TH juga memperoleh jumlah deposit sebanyak RM88.09 bilion pada separuh pertama tahun ini, iaitu paras tertinggi yang pernah direkodkan sejak 59 tahun penubuhannya.

Jumlah itu menjadikan TH meraih pendapatan sebanyak RM1.47 bilion pada separuh pertama tahun ini, dengan keuntungan bersih sebanyak RM1.03 bilion selepas ditolak peruntukan zakat.

“Kejayaan ini sudah pasti disumbang oleh kepercayaan para pendeposit terhadap TH serta Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam menguruskan institusi kewangan milik umat Islam ini.

“Keyakinan dan kepercayaan ini diperoleh hasil usaha keras kami dalam membetulkan persepsi yang membelenggu TH sebelum ini, dan memastikan TH terus mapan dan relevan dalam mengurus wang amanah para pendepositnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Marzuk berkata, perkara itu adalah yang pertama beliau dan bekas menteri agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri tekankan untuk diperbetulkan sebaik menerima amanah sebagai anggota pentadbiran.

Katanya, segala persepsi yang membelenggu harus dileraikan dan TH tidak boleh dilihat sebagai institusi yang merugikan umat Islam, sedangkan matlamat penubuhannya untuk membantu mereka.

“Maka dalam melaksanakan hasrat ini, setiap tindakan yang dilaksanakan pengurusan TH diteliti. Segala transaksi, pelaburan dan perancangan, sama ada yang telah dilaksana atau sedang dilaksana dinilai semula.

“Aset-aset yang boleh dikekalkan dan berpotensi dipulihkan, kita usahakan supaya dikekalkan dan dimanfaatkan.

“Matlamat ini supaya umat Islam kembali mempercayai institusi ini. Dan kini, ternyata usaha kami membuahkan hasil,” katanya.

Beliau berkata, melalui kepercayaan itu, terhasilnya pelaburan yang meningkatkan jumlah pendapatan dan keuntungan TH.’

Ini termasuk pelaburan pendapatan tetap yang menyumbang sebanyak RM966.34 juta, pelaburan saham (RM224.62 juta), pelaburan harta tanah (RM213.66 juta) serta pendapatan-pendapatan lain sebanyak RM66.07 juta.

“Semua ini takkan berlaku tanpa kepercayaan dan sokongan oara pendeposit. Ini suatu bukti kejayaan kerajaan dalam mengembalikan kepercayaan pendeposit yang mana gagal dilakukan oleh pentadbiran sebelum ini.

“Ini juga suatu manifestasi keseriusan kami dalam menjaga serta memelihara institusi kewangan terbesar milik umat Islam ini.

“Keyakinan dan kepercayaan ini akan sentiasa dijunjung, demi memastikan TH mencapai hasratnya membantu umat Islam menunaikan rukun Islam kelima,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button