Berita Utama

Polis Melaka tumpas geng pecah kereta guna ‘ilmu hitam’, empat ditahan

Suspek guna ayat, kalimah jampi serapah dibalut kain berjahit semasa merompak

MELAKA, 26 Safar 1444H, Jumaat – Polis di sini menahan empat warga Indonesia dipercayai anggota kumpulan samun yang menganggap mereka kebal dengan menggunakan ‘ilmu hitam’ dalam aktiviti jenayah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, keempat-empat mereka ditahan di Senai, Johor, minggu lepas susulan siasatan teliti.

“Samseng itu berjaya ditumpaskan berikutan beberapa siri kejadian pecah cermin kereta dilaporkan di sini dan salah satu jenayah mereka turut dirakam dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya, hari ini.

Christopher berkata, suspek didakwa menggunakan ayat dan kalimah jampi serapah yang dibalut dengan kain berjahit semasa melakukan rompakan.

Mereka memberitahu pasukan penyiasat bahawa ilmu hitam itu bertujuan untuk melindungi diri daripada dikesan polis.

“Himpunan risikan oleh polis terbukti lebih berkesan daripada kononnya ilmu hitam yang digunakan perompak,” katanya.

Christopher berkata, pihaknya turut merampas telefon bimbit, kereta dan peralatan lain daripada suspek.

Beliau berkata, kumpulan itu menggunakan serpihan seramik daripada palam pencucuh untuk memecah masuk kereta sebelum mengambil barang-barang ditinggalkan di dalam kenderaan yang diparkir.

Katanya, anggota kumpulan itu telah menyewa kereta dari Johor untuk melakukan jenayah mereka di sini dengan menyasarkan kereta yang diletakkan di kawasan sibuk.

“Kami percaya lapan kes pecah kenderaan yang dilaporkan di sini berjaya diselesaikan dengan penahanan itu,” katanya.

Christopher menambah, kesemua suspek berusia antara 22 hingga 41 tahun kini ditahan reman.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button