Berita UtamaDunia

Protes pemakaian tudung di Iran ragut lapan nyawa termasuk polis

Mula di kawasan majoriti Kurdish sebelum merebak ke seluruh negara

TEHRAN, 27 Safar 1444H, Jumaat – Kira-kira lapan terkorban termasuk anggota polis selepas berlaku pertempuran dengan penunjuk perasaan yang merusuh berikutan kematian seorang wanita dalam tahanan kerana didakwa tidak memakai tudung secara sempurna.

Protes yang memasuki hari kelima itu menyaksikan, rakyat Iran terus menggunakan jalan raya sebagai medan menyuarakan rasa tidak puas hati selain menggerakkan kempen melalui media sosial berikutan kematian seorang wanita dikenali sebagai Mahsa Amini.

Mahsa, 22, dilaporkan koma dan dimasukkan ke unit rawatan rapi di sebuah hospital di sini, sehari selepas ditahan pihak berkuasa sebelum disahkan meninggal dunia.

Kes itu telah memberikan tumpuan kepada hak wanita di Iran.

Polis Iran bagaimanapun menolak dakwaan bahawa Mahsa dipukul dan menjelaskan wanita berkenaan jatuh sakit.

Terdahulu, media Iran melaporkan, empat lagi maut sejak dua hari lalu di pelbagai kawasan rusuhan, menjadikan angka korban keseluruhan sebanyak lapan orang.

Rusuhan pada awalnya hanya tertumpu di kawasan majoriti Kurdish sebelum merebak ke 50 bandar lain di seluruh negara.

Ia disifatkan sebagai rusuhan terbesar sejak gelombang demonstrasi membantah lonjakan harga petrol pada 2019.

Kumpulan hak asasi Kurdish, Hengaw mendakwa, protes itu diadakan sejak Jumaat lepas.

Selain itu, pihak berkuasa negara ini dilaporkan menyekat perkhidmatan internet termasuk aplikasi Whatsapp dan media sosial lain bagi meredakan situasi. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button